shopify analytics ecommerce
tracking

Harga, sewa rumah bakal melonjak 12 bulan lagi

09 Jul 2021

KUALA LUMPUR: Harga dan sewa rumah dijangka mencatatkan peningkatan dalam tempoh 12 bulan akan datang, demikian mengikut hasil kaji selidik terkini Juwai IQI.

Kaji Selidik dan Indeks Hartanah Malaysia Suku Ketiga 2021 Juwai IQI yang dijalankan secara dalam talian pada Mei dan Jun membabitkan 397 ejen hartanah di Malaysia itu menunjukkan harga rumah akan naik tiga peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang dan kemudian meningkat sebanyak 12 peratus bagi 12 bulan berikutnya.

Sewa bagi tempoh 12 bulan akan datang hampir tidak berubah dengan pertumbuhan satu peratus, namun akan meningkat kepada lapan peratus selepas suku ketiga 2022.

Sentimen semasa ejen menunjukkan peningkatan ketara berbanding kira-kira setahun lalu pada 2020, yang mana pada ketika itu, tinjauan sangat negatif dengan ejen menjangkakan kemerosotan lima peratus dalam harga rumah dan penyusutan empat peratus dalam sewa.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata tinjauan bagi pasaran hartanah Malaysia dijangka lebih baik menjelang Januari 2022 dengan jangkaan peningkatan transaksi dan harga dalam segmen khusus.

Beliau berkata, hasil kaji selidik terkini pihaknya menunjukkan tinjauan ejen hartanah di seluruh Malaysia secara berterusan meningkat.

Katanya, setahun yang lalu, ejen hanya mengunjurkan 'malapetaka', apabila menjangkakan penurunan harga rumah dan sewa yang ketara.

"Sebaliknya, hari ini, mereka melihat kestabilan dan pertumbuhan sederhana pada tahun depan. Melangkah jauh ke depan, ejen melihat pertumbuhan yang lebih pesat dan prospek pasaran menarik pada 2022 hingga 2023.

"Ejen menjangkakan harga rumah naik tiga peratus 12 bulan ke depan dan kemudian meningkat sebanyak 12 peratus dalam 12 bulan berikutnya.

"Sewa untuk tempoh 12 bulan akan datang hanya satu peratus. Bagaimanapun, selepas suku ketiga 2022, pertumbuhan akan meningkat sehingga lapan peratus," katanya.

Kashif berkata, pembeli pertama kali adalah pemenang sebenar dalam pasaran semasa dengan kaji selidik itu menunjukkan pembeli kumpulan itu mewakili bahagian pembelian yang lebih besar.

Beliau berkata, pembeli pertama kali melakukan 35 peratus transaksi rumah baharu dan 31 peratus transaksi 'subsale' pada separuh pertama 2021.

Katanya, pembeli pertama kali mendapat manfaat daripada dasar rangsangan kerajaan.

"Sebanyak 56 peratus ejen percaya pembeli pertama kali akan mencatatkan kadar pertumbuhan transaksi terpantas pada baki 2021. Negeri yang paling tinggi bagi jangkaan pertumbuhan pembeli pertama kali ialah Pulau Pinang dan Perak.

"Transaksi oleh pembeli asing susut ke paras terendah dalam sejarah, hanya 13 peratus daripada pembelian. Pembelian asing tidak akan pulih sehingga sempadan dibuka semula, tetapi apabila itu berlaku, transaksi mereka akan meningkat lebih 50 peratus daripada paras ketika ini," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/07/836054/harga-sewa-rumah-bakal-melonjak-12-bulan-lagi

 

 


>> Back to News


Print