shopify analytics ecommerce
tracking

Pemilikan rumah pertama jadi keutamaan Belanjawan 2022

26 Jul 2021

KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah, Juwai IQI, berkata keutamaan industri hartanah Malaysia dalam Belanjawan 2022 akan datang adalah untuk menumpu bagi menyokong pemilik rumah kali pertama.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata berdasarkan kajian terkini, ejen hartanah di seluruh negara ingin melihat lebih banyak tumpuan diberikan untuk memudahkan pembeli rumah kali pertama dan pembeli rumah berharga rendah membeli rumah mereka sendiri, serta jaminan kewangan dan peluang membina kekayaan seiring dengan pemilikan rumah itu.

"Tiga langkah yang paling popular dalam industri hartanah adalah lebih banyak inisiatif menyokong pembeli rumah kali pertama, memberikan pelepasan duti setem dan mengembalikan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

"Setiap satu daripada ini adalah keutamaan bagi 18 peratus hingga 19 daripada industri yang dikaji selidik, iaitu hampir seorang daripada lima ejen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kashif berkata, keutamaan utama industri itu bagaimanapun berbeza mengikut negeri yang mana di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebanyak 27 peratus responden lebih memilih untuk melanjutkan HOC.

"Ia adalah sembilan mata peratusan lebih tinggi daripada peringkat nasional. Di peringkat nasional, hanya 18 peratus ejen menyarankan HOC menjadi keutamaan.

"Memperkenalkan semula skim Malaysia Rumah Kedua Ku adalah keutamaan utama bagi sembilan peratus daripada ejen di peringkat nasional namun ia bukan keutamaan mana-mana ejen di Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Kashif mengharapkan Belanjawan 2022 akan merangkumi matlamat dan harapan kerajaan dan menjadi satu daripada langkah paling penting yang dilaksanakan tahun ini.

"Belanjawan 2021 adalah untuk memerangi COVID-19 dan kami menjangkakan ia menyelesaikan perjuangan itu dan mengembalikan negara kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan sebaik sahaja pandemik mereda.

"Jika kita boleh membantu pembeli muda mendapatkan jaminan untuk memiliki rumah mereka sendiri, kita boleh memastikan bahawa tahun-tahun pandemik tidak menjadi tahun yang sia-sia," katanya.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/07/841823/pemilikan-rumah-pertama-jadi-keutamaan-belanjawan-2022

 


>> Back to News


Print