shopify analytics ecommerce
tracking

HOC penyelamat pasaran hartanah tempatan

28 Jul 2021

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah tempatan akan merosot dengan ketara jika Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tidak dilaksanakan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kempen berkenaan akan terus memacu pembelian hartanah di negara ini di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah, meskipun berdepan persekitaran mencabar disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Katanya, pengenalan semula HOC, kempen yang meningkatkan pasaran hartanah pada 2019, dilihat secara meluas sebagai pemacu dan penggerak industri hartanah sepanjang 2020, malah diunjurkan akan memainkan peranan lebih penting untuk membangkitkan minat pembeli hartanah.

"Berita baiknya adalah bahawa insentif HOC akan kekal untuk 2021. Pengecualian duti setem ke atas instrumen pemindahan dan had pembiayaan pinjaman melebihi 70 peratus disediakan untuk orang ramai akan memberi manfaat sebahagian besarnya kepada pembeli rumah pertama untuk memiliki hartanah.

"Sebaik saja ekonomi menunjukkan tanda peningkatan kadar pemulihan, pembeli pertama kali, mereka yang meninjau ruang yang lebih besar dan pelabur dengan pendekatan tunggu dan lihat berikutan ketidakpastian pada 2020 akan bersemangat untuk bertindak dengan insentif HOC," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Malaysia 2021 bertajuk 'Penetapan dan Pembangunan Semula Industri Perumahan dan Hartanah dalam Norma Baharu' anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) secara maya hari ini.

Zuraida berkata, salah satu hasil positif industri hartanah dalam berdepan cabaran pandemik COVID-19 adalah peningkatan inovasi dan tumpuan yang lebih besar kepada penyelesaian digital.

Beliau berkata, tahun lalu menyaksikan peningkatan ketara inisiatif digitalisasi oleh pemaju hartanah utama yang meningkatkan keupayaan mereka dalam memasarkan produk dan berinteraksi dengan pembeli melalui platform secara dalam talian.

Katanya, interaksi dengan wakil jualan untuk memudahkan transaksi dengan kemudahan yang dipertingkatkan juga merencanakan kaedah pemaju memasar dan menjual unit mereka pada masa depan.

"Golongan muda berumur antara pertengahan 20-an hingga akhir 30-an kini mewakili segmen terbesar pembelian hartanah dalam pasaran tempatan.

"Trend ini dijangka berkembang pada 2021 dan seterusnya, dengan pemaju dan ejen hartanah mula memahami serta memanfaatkan kelebihan kehadiran digital yang kukuh sebagai strategi jangka panjang," katanya.

Zuraida berkata, pelaksanaan berterusan beberapa projek infrastruktur mega seperti MRT3 dan Lebuhraya Pan Boneo akan memberi rangsangan positif kepada industri hartanah.

Secara tidak langsung, beliau berkata, projek mega sedemikian akan melengkapkan pembangunan kediaman dan perindustrian akan datang dalam pembangunan di sekitarnya selain memacu pembangunan di kawasan pedalaman yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/07/843857/hoc-penyelamat-pasaran-hartanah-tempatan

 

>> Back to News


Print