shopify analytics ecommerce
tracking

Majoriti pemaju sedia bina rumah lebih murah

25 Oct 2021

Majoriti pemaju hartanah bersedia untuk membina rumah yang berharga lebih rendah, di tengah-tengah keyakinan bahawa pasaran akan kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun ini.

Hasil tinjauan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati 76 peratus pemaju mempertimbangkan untuk mengalihkan fokus daripada membina hartanah berharga lebih RM500,000 kepada hartanah di bawah harga berkenaan.

Tinjauan itu juga mendapati 83 peratus pemaju optimis bahawa pasaran hartanah akan kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hingga 24 bulan akan datang, seandainya tiada lagi sekatan pergerakan dilakukan seperti sebelum ini.

 
 

 

Daripada jumlah itu, 48 peratus yakin pasaran hartanah akan pulih di antara enam hingga 12 bulan akan datang, manakala selebihnya antara 13 hingga 24 bulan lagi.

Tinjauan itu disertai oleh 180 pemaju hartanah di Malaysia Barat.

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon, berkata sebanyak 15,076 unit rumah dirancang untuk dilancarkan pada separuh kedua 2021, di mana 9,319 unit adalah unit kediaman strata dan 5,549 unit kediaman bertanah.

 

"Pemaju hartanah di Terengganu, Perak, Kedah/Perlis dan Negeri Sembilan merancang untuk melancarkan unit kediaman dalam lingkungan harga RM250,001 hingga RM500,000.

"Sementara itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang melancarkan unit kediaman dalam lingkungan harga RM500,001 hingga RM700,000," katanya pada taklimat media secara maya semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata 74 peratus responden berkata bahawa projek mereka akan berdepan kelewatan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus memberi kesan terhadap penyerahan kunci kepada pembeli.

"76 peratus mengatakan yang mereka memerlukan masa tambahan untuk menyiapkan projek mereka dengan purata tempoh yang diperlukan ialah 147 hari.

"69 peratus berkata bahawa mereka berpotensi dikenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kepada pembeli sekiranya tiada lanjutan diberikan di bawah Akta COVID-19 disebabkan oleh PKP," katanya.

Heng Choon berkata, secara umumnya 87 peratus pemaju hartanah bersetuju bahawa imuniti kelompok akan membantu mempercepatkan pemulihan pasaran hartanah.

"Responden kebanyakannya pesimis terhadap prospek separuh kedua 2021, tetapi berharap untuk hari yang lebih baik pada separuh pertama 2022.

"Mereka juga berharap imuniti kelompok dapat membantu mempercepat pemulihan pasaran hartanah dan pada masa sama menantikan kempen seperti pelanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk membantu pembeli," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/10/878463/majoriti-pemaju-sedia-bina-rumah-lebih-murah

Oleh Hazwan Faisal Mohamad - Oktober 21, 2021 @ 1:09pm

 

 


>> Back to News


Print