shopify analytics ecommerce
tracking

Pertimbang insentif kepada pasaran hartanah sedia ada

27 Oct 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi insentif kepada pembeli hartanah kediaman sedia ada atau sekunder dalam Bajet 2022 seperti mana diberikan kepada pasaran hartanah kediaman utama atau baharu dalam usaha untuk membantu merangsang pasaran berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Hartanah Rahim&Co International Sdn Bhd, Siva Shanker, berkata ini kerana, setiap tahun pasaran sekunder menyumbang di antara 80-85 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi pasaran hartanah kediaman berbanding pasaran utama.

Sebagai contoh katanya, pada tahun lalu, nilai transaksi pasarans sekunder ialah RM51.16 bilion manakala pasaran utama ialah RM14.71 bilion.

"Namun masalahnya ialah, semua perhatian dan fokus banyak diberikan kepada pasaran utama dan tiada tumpuan diberikan kepada pasaran sekunder.

"Semua insentif yang diberikan oleh kerajaan termasuk Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian duti setem ketika pemindahan milik hanya diberikan kepada pasaran utama yang hanya menyumbang 15-20 peratus daripada keseluruhan transaksi hartanah kediaman setiap tahun.

"Kami berpandangan sekiranya kita mahu keseluruhan pasaran hartanah kediaman untuk berkembang, kerajaan perlu juga memberikan insentif termasuk pengecualian kepada pasaran sekunder terutamanya untuk pembeli rumah pertama," katanya ketika ditemubual oleh BH secara maya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Siva berkata, pasaran sekunder juga adalah penting namun tiada peruntukan perundangan atau pemberian insentif untuk menggalakkan lagi transaksi jual beli di dalam segmen ini.

"Saya amat percaya sekiranya pasaran sekunder mengukuh dengan baik, maka pasaran utama juga akan mengikuti jejak yang sama selepas itu," katanya.

Tambahnya, beliau juga mengharapkan kerajaan dapat melanjutkan lagi tempoh HOC untuk setahun lagi pada tahun depan kerana keadaan pasaran yang masih belum pulih lagi ketika ini.

"Selain itu, pengecualian cukai keuntungan harta tanah (RPGT) juga perlu dilanjutkan sama ada untuk tempoh setajhun atau dua tahun lagi. Ini terutamanya untuk hartanah yang berharga mungkin kurang RM800,000 atau RM1 juta.

"Malah, kami berpandangan selepas lima tahun, kadar RPGT seharusnya kembali kepada sifar dan bukannya lima peratus seperti yang dilaksanakan ketika ini," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/10/880171/pertimbang-insentif-kepada-pasaran-hartanah-sedia-ada

Oleh Hazwan Faisal Mohamad - Oktober 26, 2021 @ 12:50pm


>> Back to News


Print