shopify analytics ecommerce
tracking

Kenaikan harga permintaan hartanah tanda pemulihan

24 Nov 2021

KUALA LUMPUR: Industri hartanah tempatan menunjukkan pemulihan selepas harga permintaan dalam Indeks Pasaran Hartanah Malaysia (MPMI) mencatat pertumbuhan tahunan 0.92 peratus pada suku ketiga.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata trend positif dalam industri hartanah disokong kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pembukaan semula sektor ekonomi oleh kerajaan.

"Peningkatan harga permintaan hartanah ini telah dikesan di empat wilayah utama yang dikaji oleh MPMI, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor, masing-masing mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1.56 peratus, 1.5 peratus, 1.38 peratus dan 0.15 peratus.

"Ini adalah kali pertama keempat-empat pasaran utama menyaksikan kenaikan harga permintaan sejak penularan pandemik COVID-19 bermula pada suku kedua tahun lalu," katanya dalam laporan MPMI baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, kadar vaksinasi yang dipercepatkan, digandingkan dengan pembukaan semula ekonomi adalah pemangkin yang mendorong kenaikan harga permintaan baru-baru ini.

"Lantaran negara kita muncul daripada 'medan perang' COVID-19 lebih kuat dan lebih berdaya tahan berbanding sebelum ini, ia sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna, dan keadaan ini dijangka meningkatkan permintaan hartanah di Malaysia secara beransur-ansur, tetapi dalam keadaan stabil.

"Walaupun hartanah di beberapa pasaran utama di Malaysia turun naik antara pergerakan harga positif dan negatif sejak suku kedua 2020, aliran keseluruhan tahun ke tahun telah menurun, selari dengan bermulanya sekatan pergerakan dan had ke atas aktiviti komersial.

"Oleh itu, walaupun kenaikan harga baru-baru ini membayangkan pemulihan sektor hartanah Malaysia, ia akan mengambil sedikit masa sebelum nilai hartanah kembali ke tahap sebelum pandemik," katanya.

Sementara itu, Indeks Bekalan Hartanah PropertyGuru Malaysia, yang menjejaki bekalan melalui penyenaraian hartanah di laman web, mencatatkan penurunan mendadak suku ke suku sebanyak 6.51 peratus dalam jumlah bekalan pada suku ketiga 2021, walaupun terdapat peningkatan sebanyak 11.94 peratus pada suku sebelumnya.

Empat pasaran utama yang dikaji oleh MPMI, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor masing-masing mencatatkan penurunan suku ke suku sebanyak 7.3 peratus, 2.63 peratus, 13.79 peratus dan 13.36 peratus dari segi jumlah bekalan hartanah.

Fernandez berkata, aliran jumlah bekalan yang menurun dalam sektor utama mungkin disebabkan oleh penangguhan kerja pembinaan semasa tempoh kawalan pergerakan pada suku ketiga tahun ini, yang menyebabkan pembinaan projek dan pelancaran pembangunan baru tergendala.

Sementara itu, katanya, penurunan sementara jumlah bekalan daripada pasaran sekunder berkemungkinan besar didorong oleh keraguan dalam kalangan penjual di pasaran, disebabkan oleh kekurangan pembeli dan kejatuhan harga rumah yang dapat dilihat pada bulan-bulan sebelumnya.

"Penurunan mendadak dalam jumlah bekalan hartanah pada suku ketiga 2021 adalah peringatan bahawa sektor hartanah masih terjejas akibat kesan pandemik. Namun begitu, penting untuk kita ambil perhatian bahawa aktiviti penyenaraian di laman web PropertyGuru telah meningkat pada suku keempat 2021.

"Kami menjangkakan perubahan dalam aliran terbabit menjelang akhir tahun ini sekiranya harga hartanah terus stabil atau meningkat pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, pasaran hartanah dijangka menyaksikan peningkatan beransur-ansur, tetapi stabil pada bulan-bulan akan datang, sejajar dengan keseluruhan aktiviti ekonomi, sentimen terhadap pekerjaan dan kestabilan kewangan yang bertambah baik, serta peningkatan peratusan individu lengkap vaksinasi.

"Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat ini, keyakinan pasaran akan terus dipengaruhi oleh perkembangan positif atau negatif berhubung dengan COVID-19.

"Sehingga ancaman pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya, kita patut terus berhati-hati – bukan sahaja dari segi pandangan pasaran, tetapi juga dalam kehidupan seharian kita dengan pematuhan ketat SOP– kerana kita masih belum menang sepenuhnya," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/11/890232/kenaikan-harga-permintaan-hartanah-tanda-pemulihan

Oleh Mohd Zaky Zainuddin - November 21, 2021 @ 12:23pm

[email protected]

 

 


>> Back to News


Print