shopify analytics ecommerce
tracking

Pembeli rumah masih sukar dapat pinjaman

17 Dec 2021

PETALING JAYA: Pembeli masih lagi sukar mendapatkan pinjaman perumahan, terutama dalam tempoh mencabar disebabkan pandemik COVID-19, demikian menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon, berkata perkara itu kekal menjadi antara isu utama pemilikan rumah di negara ini dan penyelesaian segera adalah sangat diperlukan.

Beliau menegaskan, bank masih mengekalkan kriteria penilaian yang ketat dan mengelak daripada risiko yang berkaitan dengan permohonan pinjaman pembeli rumah.

"Kerajaan sudah memberikan pelbagai bantuan dalam Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, tetapi ia memerlukan kerjasama yang menyeluruh.

 

"Institusi kewangan perlu memperluaskan pembiayaan tambahan dan pembiayaan alternatif lain yang digariskan oleh kerajaan di bawah bajet dan RMK-12.

"REHDA juga sudah berjumpa dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia mengenai isu pinjaman ini," katanya selepas taklimat media bersama REHDA Malaysia dan Institut REHDA di sini, hari ini.

Heng Choon berkata, REHDA mencadangkan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan pemilikan rumah termasuk meneruskan pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) selain mengembangkan inisiatif 'Rent To Own' atau sewa untuk milik (RTO).

"Skim RTO perlu dipercepatkan agar rakyat dapat memiliki rumah. Kami juga mengharapkan agar HOC dapat diteruskan oleh kerajaan pada tahun depan," katanya.

Beliau menambah, persoalan utama membabitkan pemilikan rumah bukan terletak pada harga rumah, sebaliknya lebih terarah kepada peningkatan pendapatan rakyat.

Sehubungan itu, katanya pemulihan ekonomi perlu dipercepatkan bagi membolehkan pendapatan dan harga rumah berada di paras yang stabil, apatah lagi industri hartanah dan pembinaan kini berdepan dengan kenaikan harga kos bahan mentah sehingga menyebabkan peningkatan harga rumah sekitar 20 peratus.

Perkembangan itu, jelasnya menyebabkan pemaju hartanah sukar mengekalkan harga rumah mampu milik berdasarkan situasi semasa kos pembinaan.

"Paras pendapatan rakyat perlu ditingkatkan dan ekonomi perlu dipulihkan segera. Ia akan dapat menangani permasalahan yang berlaku ketika ini kepada pembeli rumah.

"Lonjakan kos pembinaan yang dihadapi kini adalah masalah global disebabkan kenaikan harga komoditi. Kami percaya kerajaan akan melaksanakan langkah yang perlu bagi mengatasi jurang ekonomi yang berlaku," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/12/899607/pembeli-rumah-masih-sukar-dapat-pinjaman

Oleh Alzahrin Alias - Disember 16, 2021 @ 2:44pm

 


>> Back to News


Print