shopify analytics ecommerce
tracking

Pemaju mula naikkan harga rumah

27 Jan 2022

KUALA LUMPUR: Harga bahan binaan yang tinggi sejak tahun lalu menyebabkan ada pemaju terpaksa menangguhkan pelancaran projek baharu kerana sudah tidak mampu menyerap kos kenaikan itu sehingga terpaksa memindahkannya kepada pengguna dengan menaikkan harga jualan rumah.

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Sr Suleiman Saheh, berkata langkah menaikkan harga rumah hanya menyebabkan projek baharu akan lebih sukar untuk dijual kerana sudah berada di luar kemampuan pembeli.Justeru, katanya ada pemaju membuat keputusan untuk menangguhkan pelancaran projek ke tarikh lain yang dirasakan sesuai seperti ketika harga bahan binaan sudah turun atau sentimen bertambah baik.

"Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada keadaan dan lokasi. Ada sesetengah lokasi penduduknya masih mampu, maka pemaju akan meneruskan rancangan pelancaran mereka.

"Namun, bagi projek perumahan mampu milik, pemaju mungkin akan menangguhkannya kerana jika mereka menaikkan harga, dikhuatiri harganya sudah tidak mampu milik dan menyebabkan ramai tidak boleh membelinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis taklimat liputan pasaran hartanah Malaysia dan tinjauan prospek 2022 oleh Rahim & Co di sini, hari ini.Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Harta Tanah Rahim & Co, Siva Shanker.

Mengulas mengenai prestasi pasaran hartanah pada 2021, Suleiman berkata, secara ringkasnya, pemulihan yang dijangka dan diharapkan tahun lalu diganggu dengan kenaikan semula kes COVID-19."Walaupun prestasi enam bulan pertama telah meningkat dengan ketara, prestasi suku ketiga yang menurun menyebabkan pertumbuhan semula terbantut.

"Ini secara keseluruhannya menghasilkan paras transaksi sembilan bulan pertama yang kurang rancak dan di bawah jangkaan. Pemulihan pasaran hartanah ke tahap sebelum COVID-19 akan memerlukan lebih masa."Di samping itu, langkah-langkah rangsangan ekonomi oleh kerajaan adalah penting dan memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pasaran hartanah," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pasaran hartanah dijangka menuju ke arah pemulihan yang perlahan pada tahun ini, selain turut bergantung kepada harapan bahawa tiada lagi penularan varian COVID-19 baharu yang memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, dengan pencapaian liputan vaksinasi yang lebih tinggi, sokongan kerajaan yang berterusan, pelaksanaan dasar yang akomodatif dan pembukaan berperingkat sempadan antarabangsa."Pengurusan berkesan berterusan bagi situasi COVID-19 adalah penting untuk mematikan pasaran kembali ke landasan ke arah pemulihan pasaran hartanah yang mampan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/01/916223/pemaju-mula-naikkan-harga-rumah

Oleh Hazwan Faisal Mohamad - Januari 27, 2022 @ 1:58pm

 

 

 


>> Back to News


Print