shopify analytics ecommerce
tracking

Jualan rumah dijangka lembap tahun ini

07 Feb 2022

KUALA LUMPUR: Jualan hartanah domestik pada separuh pertama tahun ini dijangka lemah memandangkan pengecualian duti setem daripada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tidak dilanjutkan, demikian menurut Affin Hwang Investment Bank.

Menurut bank pelaburan itu, sentimen pasaran juga bertukar menjadi lebih berhati-hati disebabkan ada potensi berlaku kenaikan kadar faedah tahun ini.

Katanya, ia menjangkakan kenaikan 50 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Kami percaya kemungkinan kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur ini tidak akan mempunyai kesan yang besar terhadap permintaan hartanah pada 2022 disebabkan kadar yang agak rendah pada masa ini.

"Namun, permintaan hartanah boleh melemah dengan lebih ketara dengan kesan gabungan faktor lain yang mempengaruhi sentimen pasaran hartanah pada 2022, seperti ketidaktentuan politik, jumlah hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi, keadaan pasaran saham yang tidak menentu dan ringgit yang lemah.

"Terdapat risiko pada unjuran jualan hartanah kami pada tahun 2022. Ini ditambah dengan kos bahan binaan yang lebih tinggi memberi kesan buruk kepada margin keuntungan, maka terdapat risiko unjuran perolehan untuk syarikat hartanah di bawah naungan kami," katanya dalam satu nota kajian.

Affin Hwang berkata, ia percaya kebanyakan pemaju hartanah merekodkan jualan kukuh pada suku keempat 2021 disebabkan oleh permintaan tinggi terhadap perumahan secara mendadak apabila sekatan pergerakan dilonggarkan dan pembelian rumah saat akhir sebelum HOC berakhir pada akhir tahun lalu.

"Sesetengah syarikat hartanah berkemungkinan melaporkan hasil jualan melebihi sasaran awal mereka untuk 2021 disebabkan oleh permintaan tinggi secara mendadak untuk rumah berikutan pembukaan semula ekonomi dan promosi/diskaun HOC.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kebanyakan syarikat hartanah kekal berhati-hati dalam menetapkan sasaran jualan 2022 disebabkan oleh kadar faedah yang lebih tinggi dan sentimen pasaran hartanah yang lemah," katanya.

Affin Hwang berkata, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor berkenaan dengan risiko menaik atau menurun adalah jualan hartanah yang kukuh atau lemah dan risiko unjuran perolehan positif atau negatif.

 https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/02/918764/jualan-rumah-dijangka-lembap-tahun-ini

Oleh Hazwan Faisal Mohamad - Februari 4, 2022 @ 12:11pm

 

 


>> Back to News


Print