shopify analytics ecommerce
tracking

Utamakan keperluan, kemampuan sebelum beli rumah

09 Feb 2022

KUALA LUMPUR: Sebarang pembelian hartanah perlu berlandaskan faktor keperluan peribadi serta kemampuan kewangan pembeli dan bukannya berpandukan pendapat orang lain, kata Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Malah, Presiden MIEA, Chan Ai Cheng turut menyifatkannya sebagai perkara teras yang perlu diutamakan oleh mereka yang mahu terbabit dalam usaha pelaburan hartanah.

Sehubungan itu, beliau berkata individu yang berminat namun mempunyai kekangan atau tidak pasti mengenai kestabilan pekerjaan dan kewangan sebaliknya perlu mengutamakan pilihan menyewa berbanding membeli hartanah.

"Kalangan pembeli perlu menyedari bahawa hartanah ini merupakan pelaburan bagi jangka sederhana dan panjang, bukannya berdasarkan spekulasi. Langkah membeli atau menyewa adalah dua pilihan yang hebat.

"Menyewa misalnya memberi individu itu fleksibiliti manakala pembelian membolehkan usaha membina ekuiti serta lindung nilai terhadap inflasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ai Cheng, kajian Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) selama 20 tahun menunjukkan nilai indeks harga rumah meningkat sejak beberapa tahun lalu.

"Harga hartanah diselaras akibat pandemik dan tanpa mengambil kira faktor di luar jangka, kami tidak menjangkakan bahawa harga itu akan terus turun," katanya.

Beliau berkata, indeks kos bahan binaan (BCI) meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3.1 peratus dan menyebabkan kos pembinaan meningkat selain faktor kekurangan tenaga kerja yang turut memberi tekanan kepada kenaikan harga.

"Kalangan ahli kami sudah mengalami keadaan ini bagi segmen sektor kediaman bertanah. Realitinya, harga hartanah ini naik dan turun untuk tempoh tertentu dan pada masa ini ia mencecah antara paras terendah.

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa inilah masa terbaik untuk membeli hartanah jika anda terbukti mampu untuk berbuat demikian. Lebih lama anda menunggu, mungkin harganya juga sudah terlalu mahal untuk dimiliki," katanya.

Selain itu, katanya, ekonomi Malaysia dijangka mengukuh sekitar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus yang akan menyuntik keyakinan terhadap pasaran bagi pembelian hartanah."Kami menjangkakan ramai pembeli baharu akan memasuki pasaran selepas menunggu selama dua tahun (sejak pandemik COVID-19 melanda negara). Ini berikutan ramai yang telah membuat simpanan bagi tujuan itu dan paling penting, mereka juga memerlukan rumah untuk didiami," katanya.

Ai Cheng turut menggesa pembeli untuk bertindak menghubungi mana-mana ahli MIEA yang juga ejen hartanah berdaftar, ejen hartanah dalam tempoh percubaan serta perunding hartanah untuk mendapatkan maklumat mengenai hartanah pilihan.

Menurutnya, ini penting bagi membolehkan mereka mengetahui harga hartanah yang tepat sebelum memutuskan untuk memasuki pasaran.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/02/920382/utamakan-keperluan-kemampuan-sebelum-beli-rumah

 

 


>> Back to News


Print