shopify analytics ecommerce
tracking

Unjur harga hartanah meningkat

15 Mar 2022

Kuala Lumpur: Lebih separuh pemilik rumah yang merancang untuk membeli hartanah tambahan dalam tempoh satu tahun akan datang akan mengekalkan hartanah sedia ada sebagai pelaburan.

PropertyGuru Malaysia melalui Kajian Sentimen Pengguna setengah tahun bagi separuh pertama 2022 mendapati 53 peratus pemilik kediaman berbuat demikian atas alasan pelaburan.

Pengurus Negara, Malaysia bagi PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Shylendra Nathan berkata, dengan peningkatan inflasi ketika ekonomi pulih daripada pandemik, pihaknya percaya lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pasaran perumahan yang menawarkan pilihan pelaburan lebih menarik, menjadikannya sebagai alternatif kepada pasaran saham yang tidak menentu.

"Kajian Sentimen Pengguna kami juga mendapati lebih separuh daripada jumlah responden (55 peratus) menjangkakan harga hartanah akan meningkat pasca-Covid-19.

"Disebabkan itu, tidak hairanlah mereka yang mempunyai kemampuan sedang mempertimbangkan untuk membeli hartanah pelaburan, terutamanya dalam persekitaran kadar faedah rendah buat masa ini," katanya.

Dalam aspek pembelian rumah kediaman, kajian itu mendapati lebih separuh atau 55 peratus pencari rumah Malaysia mempertimbangkan hartanah yang terletak di pinggir bandar.

Antara sebab utama diberi bagi pertimbangan itu ialah persekitaran senyap dan tenang, harga lebih baik, lebih banyak kehijauan dan rumah bersaiz besar.

Minat yang semakin meningkat untuk rumah di luar pusat bandar secara langsung menggambarkan trend kerja jarak jauh yang didorong oleh pandemik.

Menurut kajian itu, satu daripada tiga rakyat Malaysia yang ditinjau berkata, mereka kini bekerja dari rumah dan akan terus berbuat demikian selepas pandemik berakhir.

Ia mempengaruhi persepsi kepentingan mempunyai ruang pejabat di rumah kerana majoriti rakyat Malaysia (79 peratus) percaya ia penting untuk mempunyai bilik tambahan ketika membangunkan hartanah baharu, walaupun selepas pandemik berlalu.

Shylendra berkata, pada permulaan Covid-19, rakyat Malaysia tidak pasti sama ada dasar bekerja dari rumah oleh syarikat mereka adalah kekal atau hanya reaksi terhadap perintah berkurung.

"Kini, selepas mereka yakin aturan kerja yang fleksibel akan kekal, lebih ramai rakyat Malaysia terbuka untuk berpindah ke pinggir bandar bagi menikmati ruang yang lebih besar pada harga yang lebih rendah.

"Perjalanan yang lebih panjang ke pejabat masih boleh diterima untuk mereka yang tidak perlu melakukan perjalanan harian ke tempat kerja, kerana kelebihan tinggal di pinggir bandar masih mengatasi kekurangan yang ada," katanya.

Sementara itu, 46 peratus daripada pengguna moratorium ditinjau dalam kajian itu mendapati, bantuan kewangan membantu menguruskan kos sara hidup mereka dan 26 peratus menyatakan mereka berjaya membina semula simpanan.

Majoriti responden kajian itu juga berharap kerajaan melanjutkan tempoh pinjaman perumahan daripada 35 tahun kepada 40 tahun supaya dapat membantu mengurangkan bayaran balik bulanan, sekali gus membolehkan kelayakan pinjaman rumah yang lebih tinggi.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/03/821014/unjur-harga-hartanah-meningkat

Disiarkan pada: Mac 15, 2022 @ 7:13am

 


>> Back to News


Print