shopify analytics ecommerce
tracking

Kos pematuhan lebih berpatutan mampu kawal harga rumah

25 Mar 2022

SUBANG JAYA: Pemaju perumahan berharap supaya kos pematuhan untuk menyediakan pelbagai kemudahan utiliti yang terpaksa mereka tanggung menjadi lebih berpatutan, bagi membolehkan satu penyelesaian komprehensif kawalan harga rumah dapat dicapai.

Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip, berkata kos pematuhan adalah kos yang ditanggung untuk mematuhi pelbagai dasar, garis panduan, piawaian dan peraturan.

Beliau berkata, ia merangkumi kos berasaskan modal seperti premium penukaran tanah, caj sumbangan, levi, yuran dan sumbangan kewangan lain termasuk dana perkhidmatan infrastruktur, caj pembangunan utiliti, sumbangan modal pembetungan serta sumbangan untuk naik taraf jalan.

Katanya, kelewatan dan mendapatkan kelulusan sebelum, semasa dan pasca pembangunan turut mengakibatkan peningkatan risiko serta kos pegangan, termasuklah bagi pelepasan kuota Bumiputera yang tidak terjual.

"Semua ini akan membentuk sebahagian daripada jumlah kos pembangunan projek dan akan diterjemahkan kepada harga rumah.

"Semakin tinggi kos pematuhan, semakin tinggi kos pembangunan yang akhirnya membawa kepada lonjakan harga rumah dan seterusnya mendesak ekonomi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laporan terbaharu Institut REHDA bertajuk 'Perumahan Masa Hadapan, Memahami Kos dan Harga Mampan di sini, hari ini.

Tiong Lip berkata, dalam situasi semasa, kos pemilikan tanah dan pembangunan lain seperti bahan binaan, buruh, profesional dan operasi akan terus meningkat disebabkan oleh faktor ekonomi, pasaran dan inflasi.

Beliau berkata, ia akan memberi tekanan kepada harga jualan akhir kerana kos pembinaan membentuk sehingga 60 peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV).

Katanya, kos ini hampir tidak ada ruang untuk dikurangkan kerana perlu mengikut standard pembinaan sedia ada, kualiti dan harga bahan semasa.

"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan kos pematuhan terkawal daripada kesan kos yang tinggi," katanya.

Tiong Lip berkata, tanah projek pembinaan perbandaran baharu pada masa ini juga tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Jelasnya, ia disebabkan hampir 60 peratus tanah terpaksa digunakan untuk pembangunan kemudahan awam dan kawasan berkaitan lain seperti tapak utiliti, jalan, pembentungan dan kawasan riadah.

"Ini mengakibatkan pemaju hartanah hanya mempunyai 40 peratus tanah untuk digunakan bagi pembangunan hartanah jualan," katanya.

Beliau memberi contoh, peningkatan 20 peratus pembangunan 100 ekar tanah akan membawa kerugian tambahan 20 ekar tanah yang boleh dijual.

"Sebelum ini, nisbah penggunaan tanah adalah sekitar 40 peratus untuk kemudahan dan 60 peratus untuk pembangunan hartanah jualan.

"Namun, saban tahun nisbah itu semakin meningkat menyebabkan pemaju berdepan pengurangan bekalan dan kehilangan GDV tambahan," katanya.

Sementara itu, Tiong Lip berkata, Institut REHDA bersama dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) akan menyerahkan laporan terbaharu itu kepada kerajaan, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), agensi, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengadakan perbincangan segera bagi membolehkan harga rumah dapat dikawal selain memberikan ruang kepada rakyat memiliki rumah.

Katanya, ia adalah satu keperluan mendesak, kerana tanpa kawalan dan penyelesaian mutlak, isu itu akan terus berlarutan yang akhirnya membebankan rakyat.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/03/938100/kos-pematuhan-lebih-berpatutan-mampu-kawal-harga-rumah

Oleh Alzahrin Alias - Mac 24, 2022 @ 3:32pm

zahrin@bh.com.my

 

 


>> Back to News


Print