shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah siap tidak terjual terus meningkat

26 Apr 2022

KUALA LUMPUR: Hartanah kediaman siap yang tidak terjual meningkat sebanyak 24.7 peratus kepada 36,863 unit bernilai RM22.8 bilion setakat Disember 2021 berbanding tempoh sama setahun sebelumnya.

AmInvestment Bank berkata, berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Tahunan 2021 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Selangor masih lagi mendahului sebagai pasaran yang mempunyai kediaman siap tidak terjual paling tinggi di negara ini.Katanya, ini diikuti oleh Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Dari segi jenis hartanah siap tidak terjual, unit kondominium dan pangsapuri adalah yang paling tinggi iaitu 20,505 unit atau 55.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh rumah teres sebanyak 7,389 unit atau 21.3 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu berkata, status hartanah kediaman siap tidak terjual yang berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta adalah membimbangkan, merangkumi sebahagian besar, iaitu 30 peratus dari segi jumlah unit yang gagal dihabiskan dan 33 peratus dari segi nilai keseluruhan.

Katanya, sebahagian besar daripada hartanah berkenaan adalah kediaman bertingkat tinggi."Sementara itu, pangsapuri servis merangkumi 73.2 peratus daripada hartanah komersial siap tidak terjual di Malaysia," katanya.

AmInvestment Bank berkata, pada tahun lalu, pasaran hartanah di negara ini menyaksikan jumlah pelancaran kediaman terendah sejak 2007 membabitkan hanya kira-kira 44,000 unit.

Ia berkata, pemaju menangguhkan pelancaran baharu disebabkan oleh pasaran hartanah yang lemah selain inventori tidak terjual yang tinggi, menyebabkan jumlah pelancaran baharu merosot sebanyak 6.7 peratus tahun lalu berbanding 2020.

"Dari segi positif, prestasi jualan pelancaran baharu meningkat kepada 39 peratus pada 2021 berbanding 29 peratus pada 2020.

"Kami menjangkakan trend konservatif pelancaran hartanah baharu akan berterusan pada tahun kewangan 2022, memandangkan kebanyakan pemaju kecuali Mah Sing Group dan Lagenda Properties, menetapkan sasaran lebih sederhana tahun ini, yang lebih rendah daripada jumlah penjualan sebenar pada 2022," katanya.

Sementara itu, ia berkata terdapat pemaju yang menunjukkan prestasi baik dalam segmen hartanah mampu milik.

"Projek perumahan mampu milik Mah Sing dan Lagenda Properties merekodkan kadar pengambilan yang baik bagi projek terbaharu disebabkan lokasi yang strategik, mantap dan kurang persaingan," katanya.

AmInvestment Bank berkata, jumlah transaksi hartanah dijangka mencatatkan pemulihan secara berperingkat pada 2023, dengan sentimen pasaran yang lebih baik pasca sekatan pergerakan dan permintaan lebih tinggi susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Namun, ia menjangkakan margin operasi pemaju akan terkesan pada tahun ini disebabka oleh gangguan rantaian bekalan berterusan yang menyebabkan kenaikan kos bahan binaan.

"Kami juga bimbang dengan isu kemampuan sedia ada dalam pasaran perumahan, yang meningkat sejak penularan COVID-19 apabila pendapatan boleh pakai pengguna terkesan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/04/949012/rumah-siap-tidak-terjual-terus-meningkat

Oleh Mohd Zaky Zainuddin - April 24, 2022 @ 11:54am

 


>> Back to News


Print