shopify analytics ecommerce
tracking

Isu kemampuan jejas permintaan terhadap rumah

23 May 2022

KUALA LUMPUR: Kediaman bertanah terus menjadi pilihan utama, namun kesulitan kewangan menjejaskan permintaan pembeli pada suku pertama, demikian menurut PropertyGuru Malaysia dalam Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) suku kedua.Laporan berkenaan mendapati, indeks permintaan jualan hartanah bertanah mencatat peningkatan 5.21 peratus tahun ke tahun.

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Shylendra Nathan, berkata trend dalam pasaran kediaman bertanah menunjukkannya terus menjadi pilihan utama pembelian, walaupun bakal pembeli rumah buat masa ini terjejas oleh isu kemampuan dan kesulitan kewangan, sekali gus mengakibatkan permintaan yang lebih perlahan."Walaupun kita perlahan-lahan melihat penambahbaikan dalam pasaran, sentimen pengguna masih terjejas oleh kesan berlarutan pasca COVID-19.

"Disebabkan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi, bakal pembeli rumah lebih berhati-hati, mencari penstabilan semula dan jaminan pekerjaan yang lebih baik dalam iklim ekonomi semasa."Dengan kekurangan insentif kewangan untuk dimanfaatkan, pembeli mungkin teragak-agak untuk meneruskan rancangan pembelian mereka sehingga ekonomi stabil semula," katanya dalam satu kenyataan.

Shylendra berkata, sentimen pengguna dalam pasaran besar kemungkinan akan bertambah baik seiring dengan pemulihan ekonomi negara, yang diharap dapat dilihat pada tahun ini."Sementara itu, kami dapati potensi untuk permintaan hartanah akan mula pulih pada suku akan datang, kerana rakyat Malaysia yang berkemampuan akan melihat hartanah sebagai lindung nilai terhadap inflasi.

"Dengan mengambil kira kelebihan nilai tanah, kenaikan harga hartanah bertanah menawarkan margin yang lebih besar untuk naik nilai modal dalam jangka panjang," katanya.Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2021 Bank Negara Malaysia (BNM) secara keseluruhannya mendapati terdapat penambahbaikan nyata dalam sektor ekonomi dan kewangan.Namun, jumlah tinggi hartanah tidak terjual kekal sebagai isu utama bagi industri perumahan.

Laporan menyatakan bahawa lebih 180,000 unit dalam pasaran perumahan masih tidak terjual, mencerminkan isu ketidakmampuan sedia ada yang diburukkan lagi oleh pandemik"Ini konsisten dengan Indeks Bekalan MPMR, dengan trend peningkatan terus berlaku, memperoleh 0.31 peratus suku ke suku dan 19.10 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2022 berdasarkan jumlah keseluruhan hartanah yang disenarai.

Dalam Indeks Harga Jualan Hartanah Bertingkat Tinggi MPMR, harga untuk hartanah berstrata jatuh sebanyak 0.23 peratus suku ke suku pada suku pertama 2022 dan hanya mencatatkan kenaikan 0.51 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, bekalan hartanah bertingkat tinggi terus meningkat sebanyak 3.25 peratus suku ke suku dan 18.24 peratus tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan ketidakpadanan harga dengan hasrat pembeli untuk faktor lain seperti lokasi, kemudahan dan kebolehcapaian.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/05/957199/isu-kemampuan-jejas-permintaan-terhadap-rumah

 


>> Back to News


Print