shopify analytics ecommerce
tracking

Harga rumah untuk dijual naik 11.1 peratus

01 Aug 2022

KUALA LUMPUR: Harga transaksi median bagi hartanah kediaman sekunder atau rumah yang dijual semula di negara ini meningkat 11.1 peratus kepada RM350,000 pada 2021 berbanding RM315,000 yang dicatatkan pada 2018, demikian laporan iProperty.com.my.

Portal hartanah terkemuka itu menyatakan bahawa nilai median bagi kaki persegi (kps) turut meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada RM228.91 pada 2021 berbanding RM215.41 pada 2018.Namun begitu, jumlah transaksi pada 2021 berjumlah 124,996 masih di bawah angka yang dicatat pada 2018 sebanyak 137,128, sekali gus menunjukkan bahawa harga transaksi median dan nilai median kps yang lebih tinggi tidak semestinya diterjemahkan peningkatan jumlah transaksi.

Data transaksi hartanah kediaman sekunder yang dikumpul pada 2018 dan 2021 itu mempamerkan angka harga untuk rumah bertanah iaitu teres, banglo dan rumah berkembar serta hartanah bertingkat tinggi iaitu pangsapuri, kondominium/apartmen dan apartmen servis merentas empat negeri utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez, berkata harga transaksi median dan nilai median kps bagi hartanah kediaman sekunder bukan setakat pulih daripada tahap prapandemik, tetapi meningkat pada 2021 berbanding 2018.

Beliau berkata, pergerakan harga yang menaik pada 2021 boleh dikaitkan dengan sentimen pengguna yang bertambah baik selepas kejayaan program vaksinasi Malaysia dan pelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur.

"Kami kini melihat keyakinan yang lebih tinggi mengalir ke dalam pasaran hartanah dengan penambahbaikan dalam bahagian tertentu pasaran kediaman sekunder, sekali gus membangkitkan semula rancangan pemilikan rumah untuk sesetengah orang."Harga median yang terus meningkat pada 2021 manakala jumlah transaksi menurun menunjukkan bahawa pembeli hartanah kediaman sekunder mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan kehendak untuk membeli hartanah yang berharga bernilai.

"Gabungan kadar faedah rendah, harga hartanah rendah, dan pengecualian duti setem ke atas memorandum dokumen pemindahan (MOT) dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah pertama memberikan keadaan yang sesuai untuk pembeli untuk memasuki pasaran hartanah," katanya dalam satu kenyataan.Pada 2021, hartanah kediaman sekunder bertanah mengatasi prestasi hartanah kediaman sekunder bertingkat tinggi dari segi harga transaksi median dan jumlah transaksi.

Hartanah kediaman sekunder bertanah mencatatkan harga transaksi median RM367,200 pada 2021, peningkatan 10 peratus berbanding RM333,760 pada 2018 manakala hartanah kediaman sekunder bertingkat tinggi mengalami pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus dari RM270,000 kepada RM290,000.

Sementara, jumlah transaksi hartanah kediaman sekunder bertanah mengalami pertumbuhan 23.5 peratus berbanding 13.9 peratus yang dicatatkan bagi hartanah kediaman sekunder bertingkat tinggi.Namun, hartanah kediaman sekunder bertingkat tinggi merekodkan nilai median kps yang lebih tinggi disebabkan rakaman persegi yang secara amnya lebih kecil berbanding hartanah kediaman sekunder bertanah.

Mengenai tinjauan pasaran hartanah separuh kedua 2022, Sheldon berkata, aktiviti belian dan pelaburan mungkin terjejas oleh kenaikan terkini Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus dan ketidaktentuan makroekonomi yang menjejaskan pasaran global.

Tambahan lagi, katanya, mungkin terdapat satu lagi kenaikan OPR sebelum penghujung 2022 dan ia boleh menjejaskan lagi sentimen belian dan pelaburan."Pada 2021, kami melihat dua keutamaan umum dalam kalangan pembeli dan pelabur rumah di empat negeri utama Malaysia iaitu keluasan dan harga mampu milik sesebuah kediaman. Pembeli di Selangor dan Johor menggemari rumah bertanah yang luas.

"Sebaliknya, pembeli di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang lebih suka rumah bertingkat tinggi yang lebih mampu milik. Menuju ke hadapan, kami menjangka trend pengguna ini akan berterusan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/07/981723/harga-rumah-untuk-dijual-naik-111-peratus

 

 


>> Back to News


Print