shopify analytics ecommerce
tracking

Ringgit lemah tarik pelaburan asing beli hartanah

25 Aug 2022

KUALA LUMPUR: Ringgit yang semakin lemah, susut lebih enam peratus nilainya berbanding dolar AS setakat tahun ini telah menarik pelabur asing kembali ke pasaran hartanah Malaysia, kata kumpulan teknologi hartanah, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata susulan ringgit jatuh 13 peratus daripada paras tertinggi pada 2018 berbanding mata wang Amerika Syarikat, pelabur asing telah mendapat manfaat daripada trend kadar pertukaran.

"Menurut data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pelaburan langsung asing (FDI) berada dalam kedudukan kukuh dan Malaysia menarik pelaburan sebanyak RM27.8 bilion pada suku pertama 2022.

"Sektor pembuatan menyumbang sebahagian besar pelaburan, ia akan meningkatkan kapasiti dan membolehkan Malaysia menguasai bahagian pasaran tambahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ringgit dibuka rendah pagi ini kepada 4.4650/4670 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1680 pada penutupan pada 31 Disember, 2021.

Menyedari bahawa Malaysia mendapat manfaat daripada ledakan komoditi, eksport yang lebih tinggi, pelaburan langsung asing yang kukuh dan pemulihan dalam permintaan dalam negeri, Kashif menjangkakan inflasi akan naik tahun ini pada 3.2 peratus sebelum jatuh kepada 2.8 peratus pada 2023.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mula mengetatkan kadar dasar semalaman pada Mei tahun ini dan sejak itu ia telah menaikkan kadar itu kepada 2.25 peratus daripada kadar akomodatif 1.75 peratus dan seterusnya bank-bank tempatan telah menaikkan kadar pinjaman asas sehingga 5.9 peratus setahun.

"Walaupun tindakan ini mewakili peningkatan daripada paras terendah sejak dua tahun lepas, kadar faedah kekal rendah daripada sudut sejarah. Kami percaya ekonomi dan pasaran hartanah mempunyai momentum yang mencukupi untuk menyerap peningkatan secara beransur-ansur itu tanpa menghadapi kitaran menurun.

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka mencapai 5.7 peratus pada 2022," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/08/989054/ringgit-lemah-tarik-pelaburan-asing-beli-hartanah-juwai-iqi– Bernama

 


>> Back to News


Print