shopify analytics ecommerce
tracking

Galakkan orang ramai menyimpan

08 Nov 2022

PENGUMUMAN Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memberi reaksi bercampur-baur daripada pengguna dengan sebahagian besar tidak berpuas hati dengan kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini.Namun tahukah anda mengapa kadar faedah ini dinaikkan walaupun kos sara hidup semakin tinggi?

BNM dalam soalan lazim berkaitan dasar monetari berkata, MPC mengurangkan OPR daripada 3.0 peratus kepada paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus ketika krisis Covid-19 pada tahun 2020."Kadar faedah lebih rendah ini menyebabkan pinjaman lebih mudah diperoleh bagi menggalakkan perbelanjaan."MPC mengambil tindakan ini untuk meredakan kesan pandemik semasa ekonomi tidak kukuh dan sedang mengalami kemelesetan," katanya.

BNM berkata, pelaksanaan dasar yang betul pada masa tepat adalah penting."Contohnya, jika MPC mengekalkan OPR terlalu rendah untuk tempoh yang terlalu lama walaupun ekonomi semakin pulih, hal ini boleh menyebabkan perbelanjaan dan peminjaman yang terlalu banyak, seterusnya menyebabkan harga meningkat.

"Pada masa ini, ekonomi tidak lagi mengalami krisis. Oleh itu, MPC mula membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur apabila ekonomi bertambah baik."Tindakan ini sama seperti doktor yang perlu menyesuaikan dos ubat mengikut keadaan pesakit."Selain itu, MPC juga mahu mengelak daripada keadaan harga terus meningkat secara lebih mendadak untuk banyak barangan.

"Hal ini akan menjadi lebih buruk apabila harga yang semakin meningkat menyebabkan upah lebih tinggi sekali gus menyebabkan harga meningkat sekali lagi," katanya.Bank pusat berkata, kadar faedah lebih tinggi bertujuan menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

"Jika anda ada pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman diambil."Bagi pinjaman berkadar tetap, tidak akan terjejas. Jumlah anda bayar balik kepada bank kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.

"Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman meningkat. Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini memberi kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi.

"Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda meningkat pada jumlah sama seperti kenaikan OPR."Contohnya, jika OPR dinaikkan 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga meningkat kepada 3.75 peratus jika kadar sebelum ini ialah 3.50 peratus.

"Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah lebih tinggi dan bank anda akan memaklumkan kepada anda dengan sewajarnya," katanya.

BNM berkata, jika pengguna bercadang mengambil pinjaman baharu, kos peminjaman boleh menjadi lebih mahal sekiranya kadar faedah lebih tinggi."Meskipun MPC sudah menaikkan OPR beberapa kali secara berturut-turut, hal ini tidak bermakna MPC terus menaikkan kadar OPR pada setiap mesyuarat MPC.

"MPC akan terus memantau keadaan ekonomi pada setiap mesyuarat dan menentukan sama ada pelarasan pada OPR perlu dibuat."Bagaimanapun, MPC tidak menjangka pelarasan yang mendadak seperti di beberapa negara lain. Hal ini bermakna pelarasan pada kadar OPR, jika ada, akan dibuat secara beransur-ansur," katanya.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/11/900649/galakkan-orang-ramai-menyimpan

 

 

 


>> Back to News


Print