shopify analytics ecommerce
tracking

Pemilihan lokasi, harga atasi isu rumah siap tak terjual

20 Dec 2022

KUALA LUMPUR: Pendekatan bersasar diperlukan bagi menangani masalah kediaman siap tidak terjual atau 'overhang' dan bukannya dasar menyeluruh seperti yang dilaksanakan menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sebelum ini.Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong, berkata analisis mendalam perlu dilakukan untuk mengetahui punca dan masalah sebenar rumah siap tidak terjual termasuk lokasi dan harganya.

"Kita juga perlu melihat perkara ini dari sudut bekalan masa depan, yang mana dari perspektif ini, jangan benarkan pemaju membina rumah di lokasi yang tiada kemudahan, akses lebuh raya, sekolah dan yang lebih penting tiada peluang pekerjaan di situ."Jangan bina di kawasan berkenaan kerana tiada sesiapa yang akan membeli di lokasi seperti ini," katanya pada perbincangan maya PropertyGuru mengenai Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah 2023, hari ini.

Perbincangan itu turut disertai Pengurus Penyelidikan Produk dan Pembangunan MKH Bhd, Dr Foo Chee Hung; Ketua Kecerdasan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr Lee Nai Jia; dan Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru, Sheldon Fernandez.

Sementara itu, Nai Jia berkata, di sebalik unjuran pasaran hartanah yang lebih lemah tahun depan, pasaran hartanah kediaman mungkin terus cergas berikutan jangkaan dasar kerajaan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik.Katanya, kerajaan berkemungkinan menawarkan sesuatu yang serupa dengan HOC, memandangkan prospek ekonomi global yang mencabar.

"Salah satu cabaran utama kerajaan ketika ini ialah untuk cuba mengimbangi di antara perbelanjaan dan juga hasil."Kita telah melihat negara-negara yang cuba untuk melaksanakan lebih banyak dasar yang mengembang atau bersasar, dengan memberikan lebih banyak wang bagi menjadikan perumahan lebih mampu milik.

"(Namun) ia mungkin boleh memakan diri kerana kerajaan akhirnya terpaksa meminjam dengan lebih banyak dan ini juga berupaya meningkatkan lagi kadar faedah. Malah, pasaran mungkin bertindak balas tidak sebaik seperti yang difikirkan," katanya.

Sheldon pula berkata, walaupun pasaran hartanah menyaksikan peningkatan yang stabil pada 2022 dengan sempadan antarabangsa dibuka semula dan tahap produktiviti yang lebih tinggi, hasil penemuan daripada laporan PropertyGuru meramalkan 2023 adalah tahun yang mencabar disebabkan oleh ketidaktentuan besar dalam dasar awam, insentif daripada kerajaan dan prospek ekonomi.

"Disebabkan ketidaktentuan ini, adalah sukar untuk mengunjurkan pandangan yang tepat mengenai tabiat pasaran pada tahun depan."Walaupun kita melihat pergerakan beransur-ansur dalam pemulihan dengan harga transaksi keseluruhan pada separuh pertama 2022 mencatatkan aliran yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, kita juga melihat tingkah laku berhati-hati kerana rakyat Malaysia menunggu semakan semula Bajet 2023," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/12/1039773/pemilihan-lokasi-harga-atasi-isu-rumah-siap-tak-terjual


>> Back to News


Print