shopify analytics ecommerce
tracking

Kenaikan kos miliki rumah jejas kuasa beli pengguna

04 Jan 2023

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos untuk memiliki rumah boleh memberi kesan kepada 'kuasa beli' pengguna pada tahun-tahun akan datang, demikian menurut perunding hartanah, Savills Malaysia.Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Savills Malaysia, Datuk Paul Khong, berkata beliau mengakui bahawa kos pembinaan dan kadar faedah pinjaman yang lebih tinggi melembapkan sektor hartanah dan ekonomi domestik secara keseluruhan.

"Kami melihat (kesan) peningkatan kos yang besar terhadap pembangunan hartanah baharu. Produk baharu ini akhirnya akan menghasilkan harga yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.Khong berkata, firma perunding itu menunggu pembentangan semula Bajet 2023 dengan menjangkakan tindakan bagi meremajakan keseluruhan sektor dan bukan hanya untuk mereka yang berada pada peringkat B40.

Dalam segmen hartanah kediaman, beliau berkata permintaan akan 'berdaya tahan' dan ini akan dibuktikan dengan peningkatan jualan pada suku pertama hingga suku ketiga 2023 disebabkan permintaan yang terpendam.Beliau berkata, akan ada daripada mereka yang terus mengambil kesempatan daripada kos gadai janji yang 'masih rendah'.

Namun begitu, beliau menyatakan terdapat cabaran kerana Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) melebihi paras prapandemik (3.25 peratus hingga 3.50 peratus) bergantung kepada situasi global.Pada 3.25 peratus, OPR akan kembali ke tahap prapandemik.Kadar faedah kini berada pada 2.75 peratus, selepas empat kenaikan berturut-turut sebanyak 25 mata asas daripada 1.75 peratus pada awal 2022.

Sementara itu, Savills Malaysia berpandangan keseluruhan pasaran hartanah di negara ini 'sebagai lanjutan terus dari 2022' dan perjalanan yang bergelora itu akan menuju ke 2023 tetapi dengan kecenderungan positif yang lebih kuat.Savills Malaysia berkata, dengan pentadbiran kerajaan baharu, diharapkan ada sokongan yang lebih baik untuk penyelesaian yang kukuh.

Dengan meletakkan kriteria pasaran hartanah kepada subsektor yang berbeza, firma perunding itu berkata, pejabat lama dan hartanah runcit 'berkemungkinan bergelut' manakala hartanah yang lebih baharu dalam segmen industri, logistik dan pusat data akan 'terus menjadi tumpuan' aktiviti pasaran.Savills Malaysia juga berpendapat trend global dalam isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diterapkan secara mendalam terhadap sebarang keputusan untuk melabur."Kesedaran ini juga semakin berkembang di Malaysia," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/01/1046735/kenaikan-kos-miliki-rumah-jejas-kuasa-beli-pengguna

 


>> Back to News


Print