shopify analytics ecommerce
tracking

Pasaran hartanah dijangka pulih selari ekonomi

07 Apr 2021

KAJANG: Pasaran hartanah negara dijangka pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara 6.5 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jangkaan itu didorong oleh tumpuan dan strategi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi, sekali gus memulihkan pasaran pekerjaan.

"Kementerian juga sudah mula merangka Belanjawan 2022 dan meneliti segala perkara yang akan diberikan tumpuan secara holistik dalam sektor hartanah.

"Bagi jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan akan menyusun semula struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Ini termasuk memastikan penyediaan perumahan yang kondusif dan berkualiti kepada golongan B40 dan M40," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Laporan Pasaran Harta Tanah 2020, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di sini, hari ini.Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr A'zmi Abdul Latif; dan Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Sr Aina Edayu Ahmad.

Tengku Zafrul berkata, dalam usaha menyokong kesinambungan sektor hartanah yang terjejas akibat pandemik, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah proaktif menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), termasuk Belanjawan 2021.

"Ia merangkumi moratorium pinjaman dan bantuan bayaran balik bersasar bagi membantu peminjam dan pemilik hartanah; pengurangan kos pinjaman serta pembiayaran balik bulanan; pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di mana duti setem dikecualikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

"Selain itu, kerajaan menawarkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas pelupusan rumah kediaman sehingga 31 Disember 2021 dan perlindungan undang-undang bagi golongan yang terjejas menerusi Rang Undang-undang (RUU) COVID-19 atau Akta 829," katanya.

Menurut NAPIC, pasaran hartanah merekodkan penurunan ketara tahun lalu berbanding 2019 dengan mencatat 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion.

Angka tahun lalu turut menyaksikan penyusutan 9.9 peratus dalam bilangan dan 15.8 peratus dalam nilai berbanding 2019.

Subsektor kediaman menerajui keseluruhan pasaran hartanah, dengan menyumbang bilangan transaksi sebanyak 64.7 peratus membabitkan 191,350 transaksi bernilai RM65.87 bilion, menurun 8.6 peratus (bilangan) dan 9.0 peratus (nilai) berbanding 2019.

Selangor menyumbang bilangan dan nilai tertinggi kepada pasaran nasional, masing- masing 23 peratus (44,032 transaksi) dan 33 peratus (RM37.79 bilion).

Sementara itu, pasaran utama menyaksikan pelancaran baharu berkurangan dengan 47,178 unit berbanding hampir 60,000 unit pada 2019.

Ia susulan pasaran hartanah yang perlahan dan sentimen pembeli yang berjaga-jaga menyumbang kepada prestasi jualan rendah pada 28.7 peratus.

Situasi unit kediaman tidak terjual lebih baik dengan 29,565 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.92 bilion, berkurangan 3.6 peratus dalam bilangan berbanding 2019 tetapi nilai meningkat 0.5 peratus.

Unit dalam pembinaan belum terjual dan belum dibina belum terjual masing-masing menurun 1.3 peratus kepada 71,735 unit dan 22.6 peratus kepada 12,975 unit.

Menurut NAPIC, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada 199.3 mata pada 2020 dengan pertumbuhan tahunan 0.6 peratus, terendah direkod sejak 2010.

Subsektor hartanah komersial juga perlahan tahun lalu dengan 20,255 transaksi bernilai RM19.53 bilion direkodkan, menurun pada 21 peratus dalam bilangan dan 32.6 peratus dalam nilai berbanding 2019.

Prestasi kompleks perniagaan terus perlahan pada 2020 apabila mencatat kadar penghunian pada 77.5 peratus berbanding 79.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Prestasi keseluruhan segmen pejabat turut kurang memberangsangkan dengan kadar penghunian keseluruhan menurun kepada 80.2 peratus dari 80.6 peratus pada 2019.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/04/803814/pasaran-hartanah-dijangka-pulih-selari-ekonomi

BERNAMA

 


>> Back to Article


Print