shopify analytics ecommerce
tracking

HOPE tawar penyelesaian B40, M40 miliki rumah

18 Jul 2022

KUALA LUMPUR: Program Pemilikan Kediaman (HOPE) yang dilancarkan hari ini, menyediakan penyelesaian kepada golongan B40, M40 dan anak muda untuk memiliki kediaman, berlandaskan aspirasi Satu Keluarga, Satu Rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata HOPE dirangka oleh kementerian itu untuk memudah cara dan mengatasi cabaran dihadapi tiga kumpulan sasar itu membabitkan pemilikan rumah.

Bagi merealisasikan matlamat itu, katanya, HOPE antara lain memberi tumpuan untuk memastikan jumlah rumah mampu milik yang mencukupi, dengan sasaran membina 500,000 rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"HOPE menunjukkan bahawa di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kami sentiasa menggalas harapan rakyat untuk memiliki rumah yang sempurna untuk mereka.

"Pelancaran program hari ini adalah penting untuk menjadi lambang kesungguhan KPKT mengangkat dan memperjuangkan agenda pemilikan rumah, termasuk rumah mampu milik kepada keseluruhan rakyat.

"Saya berharap HOPE akan menjadi jendela baharu untuk anak muda memiliki rumah. Selain rumah di bawah RM300,000, pemaju turut menawarkan rumah bernilai sekitar RM500,000 hingga RM800,000 untuk golongan M40 yang berkemampuan.

"Sebanyak mana kita mengambil berat kepada golongan B40, saya yakin kerajaan akan melihat juga keperluan perumahan bagi golongan M40, khususnya dari segi insentif pemilikan rumah," katanya pada Majlis Perasmian HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah.

Majlis itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Al-Junid.

HOPE diwujudkan bagi melihat isu pemilikan kediaman dalam perspektif menyeluruh dan menyentuh setiap sudut ekosistem sektor perumahan, yang mendapat sentuhan 25 pakar bidang perumahan pelbagai latar belakang.

Reezal Merican berkata, program itu dirangka berteraskan elemen 5K yang menjadi komponen asas iaitu Ketersediaan, Kemampuan Kewangan, Kemudahan Pembiayaan, Kualiti dan Kediaman Berdaya Huni.

Dari segi ketersediaan, katanya, HOPE digariskan selaras dengan matlamat kerajaan yang menyasarkan untuk membina 500,000 rumah mampu milik sepanjang tempoh RMK-12, yang berakhir pada 2025.

"Setakat ini, kita sudah sudah mencapai 386,000 di pelbagai peringkat, sama ada cadangan, pembinaan, perolehan dan penyerahan.

"Insya-Allah, KPKT komited mencapai sasaran diletakkan Perdana Menteri, iaitu 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 dengan matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah," katanya.

Selain itu, katanya, HOPE turut menangani isu cabaran kemampuan kewangan dan akses pembiayaan, menerusi Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-BIAYA) yang membolehkan pembeli rumah mendapat jaminan pembiayaan melalui Cagamas Berhad dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Kemudahan lain mencakupi skim Rent-to-Own (sewa untuk didiami) bagi kediaman di bawah Perbadanan PR1MA Berhad.

"KPKT juga sedang membangunkan pemetaan atau dashboard Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara sebagai panduan kepada pemaju, bakal pembeli serta pihak berkuasa tempatan dalam penentuan harga rumah mampu milik yang sewajarnya di sesuatu kawasan atau lokaliti," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/976619/hope-tawar-penyelesaian-b40-m40-miliki-rumah

 


>> Back to Article


Print