shopify analytics ecommerce
tracking

Aktiviti pasaran harta tanah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada H1 2022

26 Jan 2023

Siaran Media

Pasaran Harta Tanah 

Separuh Tahun Pertama 2022

Aktiviti pasaran harta tanah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada H1 2022

  1. Lebih 188,000 transaksi direkodkan yang bernilai RM84.40 bilion menunjukkan peningkatan lebih 30% dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh yang sama tahun lalu, ini kerana semua sektor harta tanah mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh kajian (tahun ke tahun).

  2. Sektor harta tanah kediaman merekodkan 116,178 transaksi bernilai RM45.62 bilion dalam tempoh kajian, meningkatkan sebanyak 26.3% dalam bilangan dan 32.2% dalam nilai dari tahun ke tahun. Empat negeri utama iaitu Pulau Pinang, WP Kuala Lumpur, Johor dan Selangor membentuk kira-kira 47% daripada jumlah keseluruhan kediaman nasional.

  3. Segmen harta tanah komersil merekodkan 15,169 transaksi bernilai RM14.02 bilion, meningkatkan sebanyak 45.4% dalam bilangan dan 28.3% dalam nilai berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Selangor menyumbang bilangan dan nilai yang tinggi kepada syer pasaran nasional dengan 26.5% dalam bilangan (4,025 transaksi) dan 33.5% in nilai (RM4.70 bilion)

Pelancaran baharu kediaman bergerak secara perlahan

  1. Lebih 10,000 unit baharu dilancarkan direkodkan menurun sebanyak 66.7% berbanding 31,687 unit (disemak semula) pada H1 2021. Berbanding H2 2021, pelancaran baharu lebih rendah iaitu sebanyak 13.3% (H2 2021: 12,173 units). Prestasi jualan pelancaran baharu mencatatkan sebanyak 20.3%, sedikit merosot berbanding H1 2021 (disemak semula 20.6%) dan H2 2021 (28.1%).

  2. Johor mencatatkan pelancaran baharu tertinggi di negara ini, menguasai hampir 23.8% (2,509 unit) daripada jumlah nasional dengan prestasi jualan 31.8%. Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi (1,335 unit, 12.7% syer) dengan prestasi jualan pada 10.6%. Perak di tempat ketiga (1,317 unit, 12.5% syer) dengan prestasi jualan 19.4%.

  3. Rumah teres mendominasi pelancaran baharu. Teres satu tingkat (2,047 unit) dan 2-3 tingkat (5,150 unit) secara kolektif menyumbang 68.2% daripada jumlah keseluruhan dengan prestasi jualan 22.0%, diikuti oleh unit kondominium/pangsapuri dengan 19.0% syer (2,009 unit) dengan prestasi jualan 12.4%.

 Kediaman siap dibina tidak terjual bertambah baik dalam tempoh pemulihan pasaran

  1. Sebanyak 34,092 siap dibina tidak terjual bernilai RM21.73 billion dicatatkan, menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 7.5% dan 4.6% dalam bilangan dan nilai berbanding H2 2021. Kebanyakan unit siap dibina tidak terjual adalah di Johor dengan 6,040 unit bernilai RM4.73 bilion. Sebaliknya, unit kediaman dalam pembinaan belum terjual menunjukkan penurunan sebanyak 11.1% kepada 62,404 unit berbanding H2 2021 (70,231 unit).

  2. Sub-sektor pangsapuri khidmat juga merekodkan sebanyak 22,674 unit siap dibina tidak terjual dengan nilai RM19.32 bilion, menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 6.7% dan 5.6% dalam bilangan dan nilai berbanding H2 2021. Johor mencatatkan unit siap dibina tidak terjual yang tertinggi dalam negara iaitu sebanyak 68.0% (15,423 unit), diikuti WP Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing 18.9% (4,279 unit) and 9.9% (2,248 unit).

Aktiviti pembinaan dalam situasi bercampur

  1. Aktiviti pembinaan kediaman mencatatkan kenaikan untuk siap dibina dan penawaran baru dirancang, masing-masing meningkat 5.9% dan 12.9% manakala kediaman mula dibina menurun 7.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. WP Kuala Lumpur menyumbang jumlah siap dibina tertinggi iaitu 28.2% (8,939 unit) daripada jumlah nasional diikuti Selangor (27.4%) dan Johor (8.7%). Bagi pangsapuri khidmat, siap dibina meningkat kepada 9,677 unit manakala mula dibina menurun 67.2% kepada 6,982 unit dan penawaran baru dirancang menurun 17.9% kepada 6,022 unit berbanding separuh yang sama tahun lalu.

Kadar pertumbuhan harga rumah meningkat secara perlahan  

  1. Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) terus meningkat pada trend yang sederhana. Pada Q2 2022P, IHRM berada pada 203.5 mata, meningkat 0.5% secara tahunan. Walau bagaimanapun, mata indeks menurun 1.2% jika dibandingkan Q1 2022 (205.9 mata).

Sektor pejabat dan runcit kekal mencabar

  1. Prestasi kompleks perniagaan terus sederhana pada H1 2022, dengan kadar penghunian keseluruhan menyaksikan seHdikit penurunan pada 75.7% berbanding H2 2021 (76.3%). WP Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing mencatatkan kadar penghunian 81.6% dan 77.7%, sementara Johor dan Pulau Pinang masing-masing memperoleh penghunian purata 72.2% dan 71.5%.

  2. Lima bangunan baru siap dibina telah dicatatkan menyuntikkan hampir 95,000 m.p. ruang niaga ke pasaran pada H1 2022 (H1 2021: 29,469 m.p.). Ruang niaga ini merupakan tambahan ruang Sunway Carnival Mall, Seberang Perai (32,500 m.p.), ruang niaga baru Datum Mall Jelatek, Selayang (29,449 m.p.) dan Mydin Hyper Tunjong, Kota Bharu (22,195 m.p.). Mula dibina menyaksikan empat bangunan dengan jumlah ruang niaga 81,772 m.p. Terdapat 40 kompleks perniagaan (1.56 juta m.p.) dalam penawaran akan datang dan sembilan kompleks (0.30 juta m.p.) dalam penawaran yang dirancang.

  3. Prestasi pejabat binaan khas menurun kepada 77.7% lebih rendah daripada H1 2021 (78.5%). Pejabat binaan khas terdiri daripada 1,565 bangunan milik swasta (18,155,972 m.p) dan 1,010 bangunan milik awam (6,018,590 m.p. Tiga bangunan pejabat baru siap dibina direkodkan, menawarkan jumlah ruang 114,716 m.p termasuk Menara Affin @ TRX dan The Stride @ BBCC.

Pasaran harta tanah bertambah baik pada masa akan datang

  1. Prestasi pasaran harta tanah mencatatkan lantunan pada separuh pertama tahun 2022 (H1 2022), mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik. Dengan unjuran positif terhadap pertumbuhan ekonomi oleh Bank Negara Malaysia, dijangka antara 5.3% hingga 6.3% pada tahun 2022, disokong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan, prestasi pasaran hartanah dijangka berada dalam landasan.

National Property Information Centre (NAPIC)

Valuation & Property Services Department

Ministry of Finance Malaysia

14 September 2022

https://napic.jpph.gov.my/portal

 


>> Back to Article


Print