shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT tumpu selesaikan projek rumah bermasalah, terbengkalai

21 Mar 2023

PETALING JAYA: Kerajaan, menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu memberi tumpuan menyelesaikan masalah projek perumahan bermasalah, sakit dan terbengkalai dalam tempoh satu hingga dua tahun ini sebelum memperkenalkan bantuan lain untuk sektor perumahan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hanya apabila kementeriannya berjaya menyelesaikan tunggakan projek rumah sakit, barulah kerajaan akan mempelbagaikan kaedah untuk membantu rakyat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 1,000 projek yang lewat, sakit dan terbengkalai, dengan berlaku peningkatan mendadak pasca COVID-19."Masalah ini telah memberi kesan kepada lebih 30,000 pembeli atau 120,000 isi rumah secara tidak langsung apabila terpaksa terus membayar pinjaman kepada bank sekali gus memberi bebanan kewangan kepada mereka.

"Selain itu, kita juga mengenalpasti terdapat 18 yang sedang dibina di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit atau bermasalah. Daripada jumlah itu, kita menyasarkan untuk menyiapkan 10 projek PR1MA yang bermasalah ini pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Perumahan Wilayah Institut REHDA 2023 di sini, hari ini.Yang turut hadir, Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng.Sementara itu, Ng berkata, industri hartanah negara perlu melakukan perubahan radikal dalam mencari penyelesaian membabitkan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat.

Sebagai contoh, katanya pemaju boleh dikenakan sumbangan mengikut peratusan atau jumlah tertentu daripada nilai pembangunan kasar (GDV) kepada KPKT untuk disalurkan ke dalam dana berpusat untuk tujuan pembangunan rumah mampu milik.

"Ketika ini, kaedah sedia ada menetapkan sistem kuota mengikut projek perumahan, di antara 20 hingga 40 peratus bergantung kepada syarat oleh negeri atau pihak berkuasa tempatan, yang mana pemaju perlu bangunkan rumah mampu milik di dalam projek perumahan itu dan harganya pula dikawal.

"Satu daripada masalah besar yang dihadapi industri ketika ini ialah ketidakpadanan apabila terdapat hampir 20,000 unit rumah mampu milik tidak terjual dan ia adalah sesuatu yang tidak munasabah boleh berlaku.

"Ini disebabkan oleh masalah ketidakpadanan dan juga sistem penyampaian yang sedang berlaku ketika ini, jadi kita perlukan sesuatu yang radikal untuk mengubah struktur penyampaian supaya masalah rumah mampu milik tidak terjual ini dapat diatasi," katanya.

Beliau menambah, masalah lain dengan sistem kuota perumahan mampu milik yang telah ditetapkan harganya itu ialah menyebabkan unit perumahan lain yang tidak tertakluk dengan kuota ini terpaksa dinaikkan harganya.

"Ini adalah tidak adil kerana harga rumah perlu diubahsuai bagi menanggung kerugian daripada pembinaan rumah mampu milik yang lsudah ditetapkan tadi."Jadi saya fikir, industri mahukan sistem lebih progresif dan mampan yang mampu menangani semua permasalahan yang dihadapi ketika ini," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/03/1079924/kpkt-tumpu-selesaikan-projek-rumah-bermasalah-terbengkalai

 


>> Back to Article


Print