Kerajaan teruskan pengecualian duti setem rumah bawah RM500,000
13 Jun 2023KUALA LUMPUR: Pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI) akan terus menikmati pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000, kata Kementerian Kewangan (MoF).
Menurut MoF, selain itu pengecualian duti setem 75 peratus turut diberikan bagi pembelian rumah pertama yang berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta di bawah inisiatif yang sama.
"Layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.
MoF berkata, pengecualian duti setem ini diadakan di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE), di mana pemilikan rumah pertama menerusi i-MILIKI akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.
"Sepertimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023, kerajaan akan meneruskan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat," katanya.
Selain itu, MoF berkata kerajaan juga telah bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang membabitkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya, terhad kepada RM1 juta pertama nilai harta tanah.
"Baki selebihnya daripada nilai harta tanah itu tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50 peratus atas duti setem yang dikenakan.
"Layanan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023," katanya.
-BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/06/1112348/kerajaan-teruskan-pengecualian-duti-setem-rumah-bawah-rm500000
>> Back to Article