shopify analytics ecommerce
tracking

'Kaji kelemahan pelaksanaan kuota hartanah Bumiputera'

26 Feb 2025

KUALA LUMPUR: Kuota pembelian hartanah Bumiputera wajar disemak semula kerana terdapat kelemahan dikesan dalam pelaksanaannya.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata pelaksanaan kuota itu dilihat tidak berjaya meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.

Beliau berkata, objektif sebenar pelaksanaan kuota lot Bumiputera semasa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970-an masih belum dicapai sehingga sekarang.

Katanya usaha untuk meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera memerlukan kaedah baharu yang menyeluruh, bukan hanya menumpukan kepada harga hartanah semata-mata.

"Semakan semula perlu, namun ia harus dilihat dari sudut pandang yang lebih besar. Jika larang pemilikan hartanah mewah dan hanya beri kepada hartanah berharga rendah dan sederhana, ia akan kembali ke zaman sebelum pelaksanaan kuota ini.

"Ia dasar Bumiputera dan perlu diperhalusi supaya tidak terjadinya yang 'dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

"Boleh dilaksanakan supaya aset-aset Bumiputera ini disewa secara jangka masa panjang oleh syarikat besar asing atau bukan Bumiputera agar pemilikan ia tetap ada," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmad Yazid berkata, hartanah Bumiputera bernilai tinggi juga semakin berkurangan begitu juga dengan pemilikan tanah dan penilaian aset di bandar.

Katanya, kaedah untuk memastikan pemilikan tanah Bumiputera perlu dikaji semula namun harus memastikan semua golongan termasuk 'maha kaya' turut mendapat manfaat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Institut Profesional Hartanah Bumiputera Malaysia (BUMIPRO), Afizan Mohktar berpendapat semakan yang mahu dilaksanakan perlu dilihat daripada jenis hartanah dan tahap pendapatan pembeli.

Beliau berkata, kuota Bumiputera harus ada walaupun bagi hartanah berharga RM1 juta ke atas, namun perlu mempunyai had pembelian unit atau diberikan peratusan diskaun yang lebih rendah.

Katanya, bagi kuota Bumiputera untuk hartanah berharga di bawah RM600,000 pula perlu dikekalkan untuk memastikan hak Bumiputera dilindungi dan memberi peluang kepada Bumiputera membeli hartanah terutama rumah pertama.

"Namun, perlu disekat dari segi had pendapatan agar golongan 'maha kaya' tidak boleh membeli hartanah kuota Bumiputera untuk tujuan pelaburan.

"Semakan semula kuota Bumiputera ini perlu dilihat secara menyeluruh kesan baik dan buruknya. Jangan kerana ingin menghapuskan kepentingan sesetengah pihak yang mengambil kesempatan, hak Bumiputera turut terhapus sepenuhnya," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1364091/kaji-kelemahan-pelaksanaan-kuota-hartanah-bumiputera

 


>> Back to Article


Print