HBA cadang had beli hartanah menerusi kuota, diskaun Bumiputera
27 Feb 2025KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mencadangkan agar pembelian hartanah menerusi kuota dan diskaun Bumiputera dihadkan, berbanding situasi semasa yang tidak menetapkan sebarang had terhadap jumlah unit yang boleh dibeli serta julat harga hartanah.
Setiausaha Agung Kehormat HBA, Datuk Chang Kim Loong, berkata diskaun Bumiputera perlu dihadkan kepada dua hartanah pertama yang dibeli dan perlu di bawah harga RM1 juta.
Beliau berkata, hal ini kerana tujuan asal pemberian diskaun Bumiputera adalah untuk membantu Bumiputera yang kurang berkemampuan memiliki rumah serta mengelakkan polarisasi kejiranan.
Namun katanya, apa yang berlaku kini adalah golongan kaya juga dapat menikmati keistimewaan sama.
"Justeru, kami mencadangkan agar hartanah mewah seperti penthouse, rumah berkembar mewah dan banglo dikecualikan daripada keistimewaan diskaun Bumiputera.
"Malah, peningkatan jumlah unit Bumiputera yang tidak terjual turut menyumbang kepada lebihan penawaran dalam pasaran.
"Daripada mencari lebih banyak tapak pembangunan baharu, unit yang tidak terjual ini sepatutnya dibuka jualan kepada bukan Bumiputera lebih awal," katanya kepada BH.
BH sebelum ini melaporkan terdapat cadangan daripada pemerhati hartanah agar kuota dan diskaun bagi Bumiputera dalam sektor hartanah wajar disemak semula supaya lebih bersasar dan menepati keperluan semasa, sekali gus memastikan keseimbangan antara keadilan sosial dan dinamik pasaran.
Penilaian semula itu dilihat penting bagi mengelakkan lebihan hartanah tidak terjual, menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli yang benar-benar memerlukan serta memastikan dasar itu terus relevan dalam ekosistem ekonomi dan perumahan negara yang semakin berkembang.
Kim Loong berkata, cadangan agar kuota dan diskaun Bumiputera bagi hartanah disemak semula adalah isu yang sudah lama dibincangkan dalam industri.
Beliau berkata, pihaknya sudah memberikan pelbagai pandangan mengenai kuota dan diskaun Bumiputera itu.
Katanya, pandangan itu bukanlah ingin menghalang pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, tetapi bagi mencari penyelesaian yang lebih baik.
Pihak berkuasa, katanya, perlu mengambil langkah berani dan meneroka reformasi sedemikian jika benar-benar ikhlas dalam menyediakan perumahan mampu milik untuk semua.
Katanya, Malaysia berkembang pesat sejak 1970 dan tahap pendapatan majoriti Bumiputera meningkat dengan ketara.
"Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai Bumiputera yang memerlukan bantuan, diskaun ini mungkin tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Dakwaan timbul bahawa diskaun ini disalahgunakan oleh golongan Bumiputera yang kaya, yang akhirnya meningkatkan kos pemilikan hartanah untuk semua pihak.
"Memandangkan diskaun ini terpakai untuk semua kategori hartanah dan tiada had terhadap jumlah hartanah yang boleh diperoleh, dasar yang baik ini dieksploitasi dalam pelbagai cara," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1364343/hba-cadang-had-beli-hartanah-menerusi-kuota-diskaun-bumiputera
>> Back to Article