shopify analytics ecommerce
tracking

Definisi rumah 'mampu milik' tidak menggambarkan realiti sebenar kemampuan rakyat – FOMCA.

14 May 2025

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula semua dasar sedia ada berkaitan perumahan mampu milik bagi memastikan setiap projek dibangunkan benar-benar menepati keperluan rakyat.

Menurut Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) langkah itu penting bagi mengelak timbulnya masalah rumah mampu milik tidak terjual.

Menurut FOMCA, definisi rumah mampu milik itu sendiri perlu diteliti semula, yang tidak harus hanya ditentukan had harga rumah semata-mata tetapi berdasarkan peratusan kemampuan kewangan sebenar rakyat di sesuatu kawasan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T Saravanan, berkata satu entiti khusus seperti Majlis Perumahan Mampu Milik perlu ditubuhkan bagi menilai semula dasar dilaksanakan, membabitkan kerajaan, pemaju, pakar ekonomi dan pertubuhan pengguna.

Beliau berkata, masalah rumah tidak terjual dalam kategori harga bawah RM300,000 seperti direkodkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan ketidakpadanan antara apa yang ditawarkan pemaju dengan keperluan sebenar rakyat.

"Walaupun harga rumah itu diklasifikasikan sebagai mampu milik, ramai rakyat terutama dalam kalangan B40 dan M40 masih tidak mampu untuk membeli rumah ini.

"Ini menunjukkan istilah mampu milik yang digunakan hari ini tidak benar-benar menggambarkan realiti kemampuan rakyat.

"Rumah yang dikatakan mampu milik masih melebihi kemampuan kewangan isi rumah jika diambil kira ansuran bulanan, kos sara hidup dan komitmen kewangan sedia ada," katanya kepada BH.

Muda depan BH semalam melaporkan, hartanah kediaman siap dibina tidak terjual atau 'overhang' bernilai RM300,000 ke bawah paling banyak direkodkan pada suku pertama 2025, iaitu sebanyak 7,135 unit bernilai RM1.58 bilion.

Berdasarkan rekod JPPH, jumlah itu mewakili 30.3 peratus daripada keseluruhan hartanah kediaman siap tidak terjual sebanyak 23,515 unit bernilai RM15 bilion pada suku dikaji.

Kuala Lumpur merekodkan jumlah hartanah siap dibina tidak terjual tertinggi sebanyak 3,668 unit diikuti Johor (3,034 unit) dan Perak (2,964 unit) pada suku dikaji.

Saravanan berkata, antara punca banyak projek perumahan tidak terjual adalah disebabkan lokasi, termasuk terletak di kawasan yang jauh dari pusat bandar, tidak mempunyai akses kepada pengangkutan awam yang baik dan kekurangan kemudahan asas, seperti sekolah, klinik serta tempat kerja.

"Akibatnya, walaupun harganya dilihat lebih rendah, kos keseluruhan untuk hidup di kawasan itu sebenarnya menjadi lebih tinggi apabila ditambah dengan perbelanjaan perjalanan dan masa yang hilang.

"Ini menjadikan rumah berkenaan tidak praktikal untuk dibeli oleh mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Pangkalan Data Keperluan Sebenar Perumahan

Justeru, FOMCA mencadangkan kerajaan mewujudkan satu sistem pangkalan data bersepadu untuk mengenal pasti keperluan sebenar perumahan di sesuatu kawasan, termasuk berapa ramai yang memerlukan rumah, julat harga yang benar-benar mampu dimiliki dan jenis rumah yang sesuai berdasarkan saiz keluarga serta pekerjaan mereka.

"Kuantiti rumah tidak seharusnya menjadi penanda aras kejayaan dasar perumahan, sebaliknya apabila rakyat benar-benar mampu memiliki dan tinggal dengan selesa di rumah yang dibina.

"Dasar berpaksikan kepada data, keperluan tempatan dan realiti kemampuan rakyat akan jauh lebih berkesan daripada pendekatan yang berasaskan angka serta statistik semata-mata," katanya.

Dari segi pembiayaan, Saravanan berkata, masih ramai rakyat bekerja sendiri atau berada dalam sektor tidak formal, seperti sektor gig yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan walaupun mereka mempunyai pendapatan tetap.

"Justeru, kerajaan boleh memperluas skim seperti Rent-to-Own (sewa untuk milik) atau memperkenalkan skim jaminan kerajaan untuk membantu golongan ini mendapatkan rumah pertama mereka.

"Ini termasuk menyemak kembali peranan institusi kewangan supaya lebih inklusif terhadap kumpulan ini," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1395207/definisi-rumah-mampu-milik-tidak-menggambarkan-realiti-sebenar

 


>> Back to Article


Print