shopify analytics ecommerce
tracking

Pemaju hartanah raih manfaat projek perindustrian dalam RMK13

18 Aug 2025

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah tempatan dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan projek perindustrian di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata penganalisis.

Beberapa zon dan hab perindustrian strategik sedia ada dan baharu yang diumumkan dalam rancangan lima tahun yang bermula 2026 hingga 2030 itu.

Antaranya ialah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Bandar Maritim Perindustrian Lumut (LuMIC) , Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pulau Carey.

Dalam RMK13, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion, manakala pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion bagi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung domestik dalam sektor strategik.

Sementara itu, sokongan pihak swasta menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP) pula adalah sebanyak RM61 bilion.

Daripada peruntukan RM430 bilion itu, lebih separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat, dengan adanya zon dan hab perindustrian strategik yang diumumkan itu dijangka akan mengubah landskap pelaburan perindustrian di negara ini.

Menurutnya, dengan adanya zon dan hab perindustrian strategik itu akan meningkatkan persaingan apabila pelabur mempunyai lebih banyak pilihan, manakala negeri pula menawarkan pelbagai insentif.

Katanya, antara projek yang dilihat kekal berdaya saing ialah JS-SEZ, KHTP dan Pulau Carey berikutan kedudukannya yang strategik.

"Bagi JS-SEZ, ia terletak berdekatan dengan Singapura, sementara bagi KHTP pula tidak jauh dengan Pulau Pinang," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Selain itu, Maybank IB berkata, infrastruktur kukuh termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada 2027 untuk JS-SEZ dan perancangan pembinaan Pelabuhan Pulau Carey menambahkan daya saing zon perindustrian yang berhampiran.

Baginya, pemaju hartanah seperti Eco World Development Group, UEM Sunrise, Sunway, SP Setia, AME Elite, IOI Properties Group, Scientex, Lagenda dan Crescendo dijangka mendapat manfaat susulan pendedahan mereka terhadap JS-SEZ.

"Sime Darby Property sepatutnya mendapat manfaat daripada kerjasamanya dengan SD Guthrie untuk bersama-sama membangunkan taman perindustrian di Pulau Carey dalam jangka masa sederhana," katanya.

Sementara itu, MBSB Research pula berpendapat, sebarang perkembangan pembangunan perindustrian projek di bawah RMK13 dijangka memberi manfaat kepada pemaju hartanah.

Katanya, pembangunan projek pembangunan industri yang mungkin diumumkan dalam RMK13 dijangka memanfaatkan

pemaju hartanah yang mempunyai pendedahan kepada pembangunan perindustrian di Malaysia.

Menurutnya, pemaju hartanah yang mempunyai pendedahan kepada projek pembangunan industri di Malaysia ialah Eco World Development Group, Mah Sing Goup, SP Setia, IOI Properties Group, Sunway dan Sime Darby Property.

Katanya, Eco World Development Group membangunkan beberapa Taman Perniagaan Eco di Johor dan Lembah Klang serta menceburi ruang pusat data untuk menjana pendapatan berulang.

Bagi Mah Sing Group pula, MSS Business Park di Sepang, Selangor berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut permintaan yang lebih tinggi untuk hartanah perindustrian.

MBSB Research berkata, S P Setia pula mengembangkan segmen hartanah perindustriannya dengan menubuhkan pembangunan perindustrian di perbandaran Setia Fontaines di Pulau Pinang, sebagai tambahan kepada taman perindustrian di Setia Alam, Shah Alam dan Tanjung Kupang di Johor.

Menurutnya, IOI Properties Group pula mempunyai siri Taman Perindustrian IOI di Iskandar Malaysia, Banting dan Melaka.

Katanya, Sunway pula dilihat meningkat pendedahan terhadap pembangunan perindustrian di Malaysia, dengan memperoleh sejumlah 139 hektar tanah di Rawang untuk pembangunan industri.

Matrix Concepts mempunyai pendedahan kepada Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) memandangkan ia memperuntukkan 405 hektar tanah untuk pembangunan hartanah perindustrian di MVV City.

Sime Darby Property mempunyai pendedahan kukuh terhadap pembangunan hartanah perindustrian di Malaysia melalui projeknya iaitu Bandar Bukit Raja, Taman Perindustrian Serenia, Taman Perniagaan Elmina dan Taman Perniagaan PKS Nilai Impian.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/08/1434361/pemaju-hartanah-raih-manfaat-projek-perindustrian-dalam-rmk13

 


>> Back to Article


Print