Laporan 100,000 rumah tidak terjual kurang tepat, pasaran kekal stabil – KPKT
09 Sep 2025KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan laporan media mengenai lebih 100,000 unit rumah tidak terjual di pasaran adalah kurang tepat serta tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran hartanah negara.
KPKT menjelaskan angka berkenaan merangkumi rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan yang belum berpenyewa serta unit diluluskan tetapi belum mula dibina.
Berdasarkan data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah rumah siap tidak terjual menunjukkan trend menurun sejak 2022 iaitu 35,592 unit (2022), 26,872 unit (2023), 24,208 unit (2024) dan 23,515 unit (2025).
"Perkembangan ini membuktikan pasaran perumahan negara kekal stabil dan terkawal, manakala usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan serta mengimbangi penawaran dengan permintaan telah memberikan kesan positif," kata KPKT dalam kenyataan.
Bagi mengelakkan percanggahan data, KPKT kini bekerjasama dengan NAPIC melalui inisiatif 1 Data for 1 Nation menggunakan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) sebagai rujukan tunggal data perumahan negara.
Kementerian itu turut memaklumkan 13 cadangan inisiatif utama sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, antaranya Kempen Pemilikan Rumah MADANI (HOC 3.0) yang menawarkan insentif cukai dan bukan cukai bagi menggalakkan rakyat memiliki rumah pertama.
"KPKT memberi jaminan kerajaan sentiasa komited memastikan pasaran hartanah kekal sihat, mampan dan berpandukan data tepat," katanya.-BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1442591/laporan-100000-rumah-tidak-terjual-kurang-tepat-pasaran-kekal-stabil
>> Back to Article