shopify analytics ecommerce
tracking

Belanjawan 2026 dijangka bantu B40, M40 miliki rumah sendiri

12 Sep 2025

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 dijangka memberi penekanan terhadap isu perumahan mampu milik, sokongan pembiayaan serta insentif bersasar untuk membantu golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri, demikian menurut penganalisis.

Tumpuan utama dijangka meliputi perumahan mampu milik dan sokongan pembiayaan, peralihan kepada model 'Bina Kemudian Jual' atau 'Build-Then-Sell' (BTS), pembangunan semula bandar serta pembangunan berorientasikan transit, kelestarian dan produktiviti serta pertumbuhan dipacu infrastruktur dan peluasan wilayah.

TA Securities berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan pembinaan sejuta rumah mampu milik antara 2026 hingga 2035, justeru Belanjawan 2026 dijangka menyediakan dana permulaan dan sokongan institusi kepada agensi perumahan nasional baharu, sementara kerjasama Awam-Swasta (PPP) dijangka memainkan peranan penting, terutamanya di tanah Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Dari sudut permintaan, skim 'Sewa untuk Beli' (RTO) dijangka dimantapkan lagi bersama kadar faedah bertingkat serta tempoh pinjaman fleksibel bagi pembeli rumah pertama.

"Insentif pengecualian duti setem sepenuhnya untuk rumah pertama berharga sehingga RM500,000 yang akan tamat pada Disember 2025 dijangka dilanjutkan di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 3.0.

"Langkah ini menjadi pemacu utama kemampuan B40 dan M40 dan kerajaan dijangka mengekalkan atau menambah baik insentif ini dalam Belanjawan 2026," katanya dalam satu nota penyelidikan.

TA Securities menjangkakan peralihan kepada model BTS 10:90 yang digariskan dalam RMK13 turut dijangka diperjelas.

Ia berkata, bagi mengurangkan kesan peralihan, kerajaan dijangka menawarkan insentif seperti pelepasan cukai ke atas kos pembiayaan, jaminan pinjaman disokong kerajaan atau pelaksanaan berperingkat mengikut saiz projek.

Menurutnya, dalam aspek pembangunan semula bandar, Belanjawan 2026 mungkin menekankan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (RUU PSB) yang masih menunggu kelulusan Parlimen.

Katanya, jika diluluskan, ia akan menyediakan kerangka jelas bagi meremajakan kawasan usang dengan insentif seperti bonus kepadatan dan pengecualian cukai.

Dari segi kelestarian pula, TA Securities berkata, selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), insentif baharu dijangka diperkenalkan untuk projek hijau, termasuk potongan cukai untuk pemaju, pengecualian duti setem untuk pembeli rumah hijau, dan subsidi pemasangan solar bumbung.

Menurutnya, Belanjawan 2026 juga dijangka menekankan pertumbuhan berasaskan infrastruktur dengan projek utama seperti LRT3, Sistem Transit Rapid (RTS) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, tumpuan khusus bakal diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Pantai Timur melalui peningkatan utiliti serta sambungan luar bandar.

Tambahnya, Belanjawan 2026 dijangka memperkukuh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan sokongan fiskal.

"Kami juga melihat skop untuk insentif yang disasarkan, termasuk sokongan penempatan semula untuk firma berpangkalan di Singapura dan elaun pelaburan hijau, yang akan meningkatkan daya saing Johor dan mempercepatkan penukaran insentif yang diumumkan kepada pelaburan yang direalisasikan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/09/1444265/belanjawan-2026-dijangka-bantu-b40-m40-miliki-rumah-sendiri

 


>> Back to Article


Print