Galak skim sewa beli, bina-kemudian-jual mudahkan rakyat miliki rumah
24 Oct 2025KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan institusi kewangan memperluas sokongan terhadap pelaksanaan skim sewa beli rumah dan skim bina-kemudian-jual bagi meningkatkan kemampuan rakyat memiliki kediaman, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu penting dalam menangani cabaran pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda yang berdepan kekangan kewangan untuk membeli rumah secara konvensional.
Beliau berkata, bagi membantu pembeli rumah pertama, kerajaan mencadangkan lanjutan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi rumah pertama berharga sehingga RM500,000 selama dua tahun lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2027.
"Langkah ini akan terus meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama dan memberi galakan kepada golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata antara empat hingga lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman yang dimiliki oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing, kecuali bagi individu berstatus pemastautin tetap di Malaysia.
"Pendekatan ini bertujuan memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta mengawal kenaikan harga rumah agar tidak menjejaskan kemampuan rakyat tempatan," katanya.
Selain itu, kerajaan turut mencadangkan perbelanjaan untuk pengubahsuaian dan penukaran bangunan komersial kepada kediaman diberi potongan cukai khas bersamaan 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan layak, dengan had potongan cukai sehingga RM10 juta.
Menurut beliau, langkah ini bukan sahaja membantu mengoptimumkan penggunaan bangunan sedia ada, malah meningkatkan bekalan rumah di kawasan bandar serta menyokong pembangunan mampan di bawah agenda Ekonomi MADANI.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/10/1456964/galak-skim-sewa-beli-bina-kemudian-jual-mudahkan-rakyat-miliki-rumah
>> Back to Article