shopify analytics ecommerce
tracking

2025 tahun kematangan pasaran hartanah Malaysia

07 Jan 2026

Pasaran hartanah Malaysia pada 2025 menyederhana setelah mencatatkan prestasi yang ketiga tertinggi dalam sejarah pada 2024.

Walaupun dengan penyederhanaan bilangan transaksi hartanah tahun ini, jumlah diunjurkan masih dikategorikan sebagai mampan jika dibandingkan dengan trend sedekad lalu.

Walaupun dengan persekitaran global yang kekal mencabar dengan ketidaktentuan perdagangan dan mata wang, ekonomi domestik terus menunjukkan daya tahan yang menampung pergerakan pasaran hartanah.

Pada separuh pertama 2025, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.4 peratus sebelum meningkat kepada 5.2 peratus pada suku ketiga.

Secara keseluruhan, pertumbuhan tahunan 2025 diunjurkan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, manakala unjuran bagi 2026 kekal stabil pada lingkungan 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

Pelaburan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pelaburan langsung asing (FDI) terus memainkan peranan penting, dengan jumlah kumulatif mencecah RM1.021 trilion setakat suku ketiga 2025, dengan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti pusat data, elektronik termaju, logistik dan tenaga boleh diperbaharui.

Aliran ini turut merangsang pertumbuhan di luar Lembah Klang termasuk Kulim, Seremban serta beberapa kawasan di Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam konteks ini, sektor hartanah menunjukkan daya tahannya. Jumlah transaksi hartanah pada separuh pertama 2025 menurun sedikit sebanyak 1.3 peratus kepada 196,232 transaksi.

Menjelang suku ketiga, jumlah transaksi terkumpul mencecah 304,482 unit, iaitu penurunan 2.1 peratus berbanding tempoh sama 2024.

Namun, dari segi nilai, pasaran mencatat prestasi lebih kukuh apabila nilai transaksi meningkat kepada RM107.68 bilion pada separuh pertama dan RM172.06 bilion menjelang suku ketiga, naik 5.6 peratus tahun ke tahun.

Ini mencerminkan permintaan yang lebih tertumpu kepada hartanah berkualiti dan di lokasi strategik.

Prestasi positif turut direkodkan di peringkat negeri apabila Johor, Kedah dan Melaka mencatatkan jumlah transaksi tertinggi sejak 2010.

Negeri-negeri Pantai Timur juga mencapai paras aktiviti tertinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, walaupun pertumbuhan mula menyederhana pada 2025 apabila pasaran memasuki fasa penstabilan.

Sektor kediaman kekal sebagai teras pasaran walaupun pertumbuhannya merosot sedikit. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, sebanyak 187,073 unit kediaman didagangkan, menurun 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala nilai transaksi hanya susut kecil 0.3 peratus kepada RM77.88 bilion.

Dari segi penawaran, pelancaran baharu menunjukkan pendekatan lebih berhati-hati apabila jumlah unit baharu bagi sembilan bulan pertama 2025 terhad kepada 24,913 unit, berbanding 36,535 unit dalam tempoh sama 2024, iaitu penurunan ketara sebanyak 31.8 peratus.

Walaupun 23,380 unit telah dilancarkan setakat separuh pertama 2025 berbanding jumlah 22,827 unit pada separuh pertama 2024, peningkatan yang kecil menjelang suku ketiga mencerminkan disiplin pemaju dalam mengurus risiko bekalan.

Pada masa sama, stok kediaman siap tetapi tidak terjual meningkat kepada 49,428 unit bernilai RM33.19 bilion setakat suku ketiga, sebahagian besarnya melibatkan pangsapuri servis dan unit bertingkat tinggi di kawasan bandar pesat membangun.

Indeks Harga Rumah Malaysia pula mencatat pertumbuhan marginal 0.1 peratus pada suku ketiga, menunjukkan tekanan harga yang kekal terkawal.

Bagi hartanah komersial, sektor runcit mencatat pemulihan seiring peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa yang mencecah 28.2 juta orang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, meningkat 14.5 peratus tahun ke tahun.

Kadar penghunian pusat beli-belah secara purata berada pada 78.7 peratus, manakala pusat beli-belah utama di bandar besar terus mengekalkan penghunian melebihi 90 peratus.

Sebaliknya, sektor pejabat mencatat kadar penghunian sekitar 77.8 peratus pada separuh pertama sebelum meningkat sedikit kepada 78 peratus pada suku ketiga, dengan permintaan lebih tertumpu kepada bangunan gred A baharu.

Menjelang 2026, prospek pasaran hartanah Malaysia kekal stabil. Permintaan akan terus dipacu oleh kebolehhunian, kesalinghubungan infrastruktur serta kemampanan, menandakan peralihan pasaran ke arah pertumbuhan yang lebih seimbang, berdaya tahan dan berorientasikan nilai jangka panjang.

Bagi lanjutan berkenaan prospek tahun 2026, ikuti ruangan ini menjelang tahun baharu yang bakal tiba selepas peluncuran Laporan & Tinjauan Pasaran Hartanah tahunan Rahim & Co pada bulan depan.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/12/1489966/2025-tahun-kematangan-pasaran-hartanah-malaysia

Penulis ialah Pengarah Penyelidikan Hartanah Rahim & Co International Sdn Bhd

 


>> Back to Article


Print