shopify analytics ecommerce
tracking

Pangsapuri servis berlambak di pasaran, hartanah paling banyak tidak terjual

07 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Unit pangsapuri khidmat atau turut dikenali sebagai pangsapuri servis dilihat mencatatkan lambakan lebih tinggi berbanding jenis hartanah kediaman atau komersial lain, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada ia benar-benar memenuhi keperluan penempatan atau sebaliknya.

Persoalan itu dikemukakan Penyelidik Bersekutu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Muhammad Nazhan Kamaruzuki dalam komentar bertajuk 'Di Sebalik Kepesatan dan Kebanjiran Pangsapuri Khidmat yang disiarkan di laman web KRI.

Beliau menyifatkan data unit tidak terjual pangsapuri seolah-olah menggambarkan kekurangan permintaan atau kegelojohan pembangunan meskipun ada yang optimistik mengenai permintaan pangsapuri servis memandangkan konsep pembinaannya yang kononnya memenuhi citarasa semasa.

Menurutnya, setakat suku ketiga tahun 2025, terdapat 17,892 unit pangsapuri servis yang telah siap dibina tetapi tidak terjual di Malaysia dan angka itu lebih tinggi berbanding mana-mana jenis hartanah lain sama ada kategori kediaman atau komersial.

Katanya, pangsapuri servis juga merekodkan unit tidak terjual dalam pembinaan dan belum dibina paling tinggi.

"Statistik ini seolah-olah menggambarkan bahawa perancangan pangsapuri servis bukan saja gagal memenuhi permintaan perumahan, malah permintaan komersial daripada mereka yang inginkan menjadikan hartanah bercirikan kediaman sebagai aset pelaburan," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Nazhan berkata, 'kegagalan' itu mungkin lebih kronik jika dilihat di kawasan tumpuan pembangunan pangsapuri servis dan projek yang masih dalam pembinaan dengan status tidak terjual.

Menurutnya, di Johor Bahru misalnya, terdapat hampir 9,000 unit pangsapuri servis yang merangkumi 85 peratus daripada hartanah komersial siap dibina tetapi tidak terjual, sementara di Kuala Lumpur pula, sebanyak 4,687 unit pangsapuri servis merangkumi 80 peratus unit komersial siap dibina tidak terjual.

Katanya, bagi unit dalam pembinaan, setakat suku ketiga tahun 2025, terdapat 44,035 unit yang belum dijual dan angka itu adalah 35 peratus daripada keseluruhan jumlah unit yang telah dilancarkan.

"Ini menggambarkan permintaan kepada jenis hartanah ini tidaklah begitu tinggi kerana hanya sekitar 65 peratus berjaya dijual setelah pembinaan bermula.

"Di Selangor pula, 41 peratus unit pangsapuri servis yang dalam pembinaan adalah masih tidak terjual (59 peratus terjual) setakat suku ketiga 2025," katanya.

Muhammad Nazhan berkata, unit pangsapuri servis yang tidak terjual itu besar kemungkinan akan kekal tidak terjual buat tempoh yang lama hatta setelah siap dibina sekalipun.

Katanya, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 72 peratus unit yang siap dibina dan tidak terjual adalah bertempoh selama lima hingga 10 tahun.

Justeru, jelasnya, keadaan itu jelas menggambarkan bukan saja ketidakpadanan permintaan dengan penawaran, tetapi kebanjiran pangsapuri servis tanpa pemilikan akan berlaku.

Menurutnya, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh menjelaskan situasi itu seperti kos caj servis yang mahal, kerumitan penyelenggaraan terutamanya jika projek adalah sebuah pembangunan bercampur, harga yang tidak sepadan atau lokasi tidak strategik, mahupun larangan untuk aktiviti penginapan pendek oleh pihak pengurusan bangunan.

"Hakikatnya, lambakan projek pangsapuri servis tidaklah begitu mendapat sambutan sebagaimana yang digembar-gemburkan, baik untuk didiami sendiri atau sebagai instrumen pelaburan.

"Bak kata pepatah, indah khabar dari rupa, mungkin begitulah realiti projek pangsapuri khidmat yang ada di Malaysia.

Jadi, perlu ada perbincangan lebih mendalam bagi memahami rasional pihak berkuasa terhadap kepesatan pembinaan pangsapuri khidmat dan sejauh mana ia memenuhi keperluan penempatan masyarakat," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/12/1490150/pangsapuri-servis-berlambak-di-pasaran-hartanah-paling-banyak-tidak

 


>> Back to Article


Print