shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah mampu milik terus jadi tumpuan pasaran hartanah 2026

08 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah dan amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia memasuki 2026 dengan asas yang semakin stabil disokong oleh dasar kerajaan, keterlihatan pendapatan yang lebih jelas serta permintaan berterusan dalam segmen rumah mampu milik dan perindustrian.

Penganalisis BIMB Securities Research, Mohd Fadzerin Arrifin, berkata di bawah Belanjawan 2026, inisiatif perumahan seperti Program Residensi Rakyat (PRR), Residensi Madani, Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan PR1MA, bersama pembangunan infrastruktur pengangkutan dan sosial dijangka terus menyokong aktiviti pembinaan domestik.

Beliau berkata, RMK13 yang menyasarkan pembinaan sejuta unit rumah mampu milik dari 2026 hingga 2035 memberi keterlihatan permintaan jangka panjang kepada pemaju, sekali gus menggalakkan penyesuaian produk ke arah segmen pasaran massa dan pertengahan.

"Segmen rumah mampu milik kekal sebagai kumpulan keuntungan paling defensif, dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mencapai 98.8 peratus sasaran 500,000 unit di bawah RMK12 setakat Ogos 2025.

"Permintaan turut disokong oleh jaminan RM10 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan, pengecualian duti setem penuh bagi rumah bawah RM500,000, serta pelepasan cukai faedah sehingga RM7,000 dan RM5,000 bagi tempoh perjanjian tertentu," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan harga yang kukuh serta nilai transaksi yang stabil, manakala kadar faedah yang lebih rendah dan langkah belanjawan membantu memulihkan permintaan dalam segmen mampu milik dan pertengahan.

"Sasaran perumahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), projek pengangkutan berskala besar serta pelaburan perindustrian di sekitar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan koridor Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mewujudkan saluran projek berbilang tahun untuk pemaju dan REIT," katanya.

Data suku ketiga 2025 menunjukkan pasaran hartanah berada dalam fasa penstabilan, dengan Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat marginal 0.1 peratus tahun ke tahun kepada 229.1 mata, manakala harga purata rumah berada pada RM494,384.

Bagaimanapun, trend pembinaan kediaman adalah bercampur-campur, apabila pertumbuhan unit siap diimbangi oleh kelemahan permulaan projek baharu dan pelancaran yang dirancang, dengan pelancaran baharu susut kepada 11,533 unit dan kadar pengambilan sederhana 14.0 peratus.

Bekalan rumah kediaman siap tidak terjual meningkat kepada 28,672 unit bernilai RM17.25 bilion, manakala pangsapuri perkhidmatan tidak terjual mencecah 17,892 unit bernilai RM14.48 bilion, mengekalkan risiko lebihan bekalan dalam pasaran.

Dalam segmen komersial, kadar penghunian kompleks beli-belah meningkat kepada 78.6 peratus berbanding 77.6 peratus setahun lalu, manakala kadar penghunian pejabat bina khas kekal stabil pada 71.9 peratus, mencerminkan tanda-tanda dasar kitaran pasaran di kawasan bandar utama.

Dalam aspek pembiayaan, pertumbuhan pinjaman perumahan kekal sihat dengan pinjaman kediaman meningkat 6.1 peratus kepada RM877.9 bilion setakat Oktober 2025, didorong terutamanya oleh segmen harga RM250,000 hingga RM1 juta.

Sementara itu, pelaburan pengangkutan rel dan transit, termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Laluan Mutiara Pulau Pinang dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor, dilihat sebagai pemacu struktur yang meningkatkan nilai hartanah dan menyokong pembangunan bandar berorientasikan transit.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/01/1491680/rumah-mampu-milik-terus-jadi-tumpuan-pasaran-hartanah-2026

 


>> Back to Article


Print