shopify analytics ecommerce
tracking

Kemampuan miliki rumah terus menjadi isu utama rakyat

12 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Isu kemampuan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah kekal sebagai cabaran utama meskipun kerajaan terus berusaha menyediakan rumah mampu milik, berikutan ketidakseimbangan penawaran produk perumahan mengikut lokasi, menurut Rahim & Co.

Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co, Sulaiman Saheh, berkata konsep kemampuan memiliki rumah atau affordability perlu ditakrifkan berdasarkan lokasi, tahap pendapatan dan demografi bagi memastikan sasaran lebih tepat.

"Sebagai contoh, pembangunan apartmen berharga RM250,000 mungkin sesuai untuk pasaran Kuala Lumpur atau Selangor, namun tidak selaras dengan pendapatan purata penduduk di negeri seperti Kelantan. Harga yang dianggap mampu milik di bandar besar mungkin masih di luar kemampuan rakyat di negeri yang lebih kecil.

"Di negeri kecil juga, rakyat lebih cenderung memilih rumah bertanah satu tingkat berbanding kondominium mewah atau kediaman bertingkat tinggi. Justeru, kerajaan perlu meneliti perbezaan pendapatan antara negeri dan kesesuaian produk supaya rumah yang dibina benar-benar mampu dimiliki rakyat.

"Program seperti rent-to-own pula masih belum dilaksanakan pada skala besar, sedangkan ia berpotensi membantu golongan B40 memiliki rumah pertama," katanya pada sidang media Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 Rahim & Co, di sini, hari ini.

Laporan Property Market Review 2025/2026 oleh Rahim & Co yang diterbitkan hari ini menunjukkan harga rumah di bandar utama Malaysia masih berada pada tahap yang dikategorikan sebagai sangat tidak mampu milik berbanding pendapatan median isi rumah.

Harga median rumah di Kuala Lumpur kini dianggarkan sekitar RM700,000, menjadikannya tidak mampu dimiliki oleh purata isi rumah dengan nisbah harga terhadap pendapatan mencecah 5.7, jauh melebihi paras dianggap mampu milik iaitu tiga.

Situasi hampir sama turut dikesan di Selangor dan Johor, dengan kedua-dua negeri mencatatkan nisbah 4.7. Walaupun harga median rumah teres di Selangor sekitar RM550,000 dan Johor pada RM465,000, kedua-duanya masih berada dalam kategori serius tidak mampu milik.

Pulau Pinang pula mencatatkan nisbah 4.1 dengan harga median rumah teres pada RM440,000. Walaupun nisbah ini adalah yang terendah antara empat kawasan utama yang dikaji, ia masih berada dalam zon serius tidak mampu milik mengikut piawaian antarabangsa. Keadaan ini menunjukkan isu ketidakmampuan memiliki rumah tidak lagi terhad di Kuala Lumpur, sebaliknya telah merebak ke negeri ekonomi utama lain, apabila kebanyakan harga rumah di lokasi strategik melebihi kemampuan pendapatan median rakyat.

Sulaiman turut menegaskan bahawa selain inisiatif kerajaan, kerjasama sektor swasta dan institusi kewangan amat penting bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah.

"Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk pemaju dan bank, untuk menyediakan skim yang praktikal dan mudah diakses," katanya.

Beliau berkata, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) turut membantu mengurangkan kos pinjaman dan meningkatkan kemampuan pembelian, walaupun ekonomi Malaysia masih berdepan ketidaktentuan global.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/01/1494069/kemampuan-miliki-rumah-terus-menjadi-isu-utama-rakyat


>> Back to Article


Print