KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai pengosongan atau 'vacancy tax' seawal tahun depan dijangka dapat menangani masalah rumah siap tidak terjual di negara ini.
Penganalisis AmInvestment Bank, Thong Pak Leng, berkata pengenalan cukai pengosongan di negara ini akan membolehkan pemaju menjadi lebih rasional dan berhati-hati merancang pelancaran projek masing-masing pada masa akan datang.
"Dalam masa sama, pemaju juga diharapkan melakukan yang terbaik untuk menjual semua unit yang ditawarkan.
"Walaupun langkah sedemikian mampu membendung situasi rumah siap tidak terjual di Malaysia, dalam jangka pendek, pemaju mungkin sedikit terkesan oleh cukai tambahan atau terpaksa menawarkan diskaun lebih tinggi bagi menghabiskan unit yang gagal dijual," katanya dalam satu nota.
Kerajaan dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan cukai pengosongan terhadap pemaju bagi mengatasi masalah rumah terbiar yang tidak dijual, khususnya di sekitar Lembah Klang.
Cukai itu, yang sudah diguna pakai di beberapa bandar raya utama dunia seperti Vancouver, Kanada dan Melbourne, Australia akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini bermula pada tahun depan.
Jumlah hartanah siap dan tidak terjual daripada semua segmen meningkat kepada RM41.5 bilion setakat akhir 2019, membabitkan kira-kira 57,000 unit yang gagal dijual oleh pemaju, demikian menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Sebahagian besar unit tidak terjual disumbangkan unit kediaman bertingkat, berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah 2019 yang diterbitkan NAPIC pada April lalu.
Mengulas lanjut, Pak Leng berkata, secara purata pemaju yang berada di bawah liputan AmInvestment mengambil masa kira-kira enam setengah bulan untuk menghabiskan inventori projek pembangunan masing-masing di Malaysia.
"Memandangkan kerajaan mempertimbangkan tempoh ambang antara enam hingga sembilan bulan untuk menghabiskan unit rumah siap tidak terjual, kebanyakan pemaju mungkin langsung tidak dikenakan atau hanya perlu membayar sedikit cukai pengosongan.
"Kami mengekalkan saranan neutral terhadap sektor hartanah kerana tidak menjangkakan berlaku perubahan besar dari segi jualan dan perolehan dalam tempoh terdekat hingga sederhana," katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, baru-baru ini menegaskan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan cukai berkenaan akan dilaksanakan tahun depan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu membuat beberapa penelitian dari segi undang-undang dan cadangan berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
"Menjadi tanggungjawab setiap pemaju perumahan memastikan perumahan yang sudah siap dijual dan dihuni segera.
"Sebelum mendirikan rumah, mereka sepatutnya membuat perancangan teliti bagi memastikan tiada masalah selepas projek itu disiapkan," katanya.