shopify analytics ecommerce
tracking

Masalah kekurangan bahan binaan dijangka selesai

17 Sep 2021

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan bahan binaan yang serius dihadapi sektor hartanah dijangka selesai pada suku keempat tahun ini, demikian menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA).

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata kekurangan bahan binaan itu hanya bersifat sementara memandangkan simpanan stok daripada kilang sudah habis digunakan.

Katanya, ia berlaku kerana banyak kilang tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru apabila sektor hartanah dibuka semula, semua simpanan stok kilang yang ada habis dibeli.

"Malah, ketika pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD), ada sesetengah projek pembinaan dibenarkan beroperasi dan mereka membeli semua simpanan stok yang masih ada di kilang.

 
 

"Justeru, selepas semua sektor sudah boleh beroperasi, kilang tidak mempunyai stok mencukupi untuk memenuhi semua permintaan dan akan mengambil masa selama sebulan ke dua bulan sebelum dapat mencukupkan kembali stok.

"Ini yang menyebabkan berlaku kekurangan bahan binaan, selain turut menyebabkan kenaikan harga apabila permintaan melebihi penawaran.

"Namun, harganya sudah kembali turun dan stabil secara perlahan-lahan," katanya kepada BH.

Maybank IB Research dalam nota kajiannya baru-baru ini mendapati industri hartanah berdepan kekurangan bahan binaan yang serius sehingga mengakibatkan kemajuan kerja menjadi lebih perlahan.

Penganalisisnya, Wong Wei Sum, berkata memandangkan sekatan pergerakan hanya mula dilonggarkan pada akhir Ogos, keputusan kewangan suku ketiga 2021 dijangka lebih lemah dan pihaknya menjangkakan sebahagian pemaju akan mencatat kerugian.

"Dalam pada itu, berdasarkan 'risikan' kami, REHDA sedang melobi untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) memandangkan pemaju tidak mendapat manfaat penuh disebabkan sekatan pergerakan selama tiga bulan dari Jun hingga Ogos lalu," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Heng Choon menafikan bahawa REHDA cuba melobi kerajaan untuk melanjutkan HOC.

"Ini tidak benar. Kita masih ada masa tiga bulan setengah sebelum kempen berakhir pada akhir tahun. Kami akan melihat dulu prestasi jualan industri dalam tempoh sebulan ke dua bulan ini sebelum memutuskan langkah seterusnya.

"Jika penjualan terjejas dan maklum balas diterima daripada ahli REHDA, kita ada masa sehingga November atau selepas belanjawan dibentangkan untuk memohon lanjutkan kempen," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/09/865156/masalah-kekurangan-bahan-binaan-dijangka-selesai

Oleh Hazwan Faisal Mohamad - September 17, 2021 @ 11:35am

 

 


>> Back to News


Print