shopify analytics ecommerce
tracking

Harga tinggi halang B40, M40 miliki rumah

11 Oct 2021

KUALA LUMPUR: Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2021 PropertyGuru mendapati harga yang tinggi menjadi penghalang utama bagi pencari rumah walaupun empat daripada lima rakyat Malaysia berhasrat untuk membeli hartanah pada masa akan datang.

Sehubungan itu, PropertyGuru Malaysia mencadangkan supaya Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan akhir bulan ini harus menjadikan pemilikan rumah lebih mudah bagi golongan B40 dan M40.

Peneraju laman web hartanah di Malaysia itu mencadangkan tumpuan Belanjawan 2022 perlu diberikan kepada merangsang sektor hartanah, memberikan bantuan kewangan serta mempromosi kelestarian untuk terus menyokong pertumbuhan dan pemulihan sektor hartanah.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan kewangan untuk membantu pemilik hartanah Malaysia dan menyokong sektor hartanah, kajian yang sama mendapati bahawa 84 peratus rakyat Malaysia percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan kerajaan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik.

Malah, katanya 58 peratus mahu kerajaan memperluaskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ke hartanah sekunder.

"HOC membantu ramai pembeli rumah kali pertama membeli hartanah dalam beberapa tahun ini dan berjaya mendorong aktiviti dalam pasaran hartanah yang perlahan.

"Kami berharap agar kerajaan bukan saja melanjutkan HOC hingga ke tahun depan, tetapi turut memperluaskan insentif yang ditawarkan di bawah kempen ini ke pasaran kediaman sekunder," katanya dalam satu kenyataan.

Selain memberi sokongan kepada pembeli rumah pertama, Sheldon berkata, perlu ada usaha bagi membantu mereka yang berjuang mengekalkan kediaman mereka semasa pandemik melanda.

Justeru, pihaknya menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan ke atas faedah terkumpul pinjaman perumahan setelah moratorium berakhir, kerana ia akan membantu meringankan beban isi rumah yang memerlukan.

Katanya, PropertyGuru Malaysia juga berharap kerajaan melanjutkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CHKT) kr tahun depan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.

"Kami juga berharap agar kerajaan dapat memperkenalkan insentif sewa yang dapat memberi manfaat kepada penyewa dan tuan rumah.

"Sebagai contoh, kerajaan New South Wales di Australia memperkenalkan insentif kewangan yang boleh dituntut oleh tuan rumah yang memberikan pengurangan sewa kepada penyewa terkesan oleh COVID-19.

"Inisiatif yang sama boleh dilaksanakan di Malaysia untuk membantu penyewa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik dan tidak dapat membayar sewa mereka buat sementara waktu," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/10/872608/harga-tinggi-halang-b40-m40-miliki-rumah

Oleh Mahanum Abdul Aziz - Oktober 5, 2021 @ 1:23pm

 

 


>> Back to News


Print