shopify analytics ecommerce
tracking

Kediaman bertanah masih jadi pilihan utama pembeli

13 Oct 2021

KUALA LUMPUR: Kediaman bertanah masih menjadi pilihan pembeli rumah meskipun citra rasa terhadap gaya hidup sudah berubah, demikian kata Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense, Joe Hock Thor.

Beliau berkata, berdasarkan data yang ada, masih ramai yang menyukai dan mencari kediaman bertanah, yang mana trend itu tidak pernah berubah walaupun terdapat perubahan ketara terhadap gaya hidup masyarakat ketika ini.

"Kita masih menyukai kediaman bertanah. Ia tidak berubah," katanya pada webinar 'CEM Star Talk with the Managing Director of PropertyGuru DataSense (Malaysia), Mr Joe Hock Thor' hari ini.

Dalam Laporan Maklumat Terkini Hartanah Suku Pertama 2021 yang dikeluarkan PropertyGuru DataSense baru-baru ini, menunjukkan unit bertanah telah menjadi pilihan pembeli berbanding unit bertingkat tinggi pada suku pertama 2021.

Laporan itu mendedahkan rumah teres menyumbang kepada 54 peratus transaksi di Malaysia, diikuti dengan kondominium/pangsapuri (18 peratus).

Sebahagian besar 10 projek teratas dengan jumlah transaksi tertinggi pada suku itu adalah kawasan terletak jauh dari pusat bandar dalam perbandaran serba lengkap, contohnya Bukit Sentosa dan Bandar Bukit Beruntung di Rawang, serta Bandar Putra di Kulai.

Mengenai pentingnya penggunaan data dalam membuat keputusan yang baik dan tepat, Joe berkata, penggunaan teknologi memberi akses yang besar dari segi data, yang mana ia membantu dalam menjangkakan demografi bagi pembeli hartanah.

Beliau berkata, dengan data yang ada, syarikat boleh mewujudkan profil pembeli rumah sama ada ia adalah pelabur, pembeli rumah pertama kali dan sebagainya bagi kawasan dan segmen tertentu.

"Urusan membuat keputusan disokong data kini menjadi sangat penting, malah ia membantu keputusan dibuat dengan lebih baik dan tepat. Malah, penggunaan teknologi membolehkan kita menjangkakan demografi ke depan," katanya.

PropertyGuru DataSense adalah bahagian analisis dan penyelesaian data PropertyGuru. Pada November 2020, PropertyGuru Group telah mengambil alih syarikat data hartanah, MyProperty Data, sekali gus melanjutkan misinya bagi menyokong aspirasi pemilikan rumah rakyat Malaysia.

Berikutan pengambilalihan strategik itu, MyPropertyData telah dijenama semula sebagai sebahagian daripada PropertyGuru DataSense.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/10/875393/kediaman-bertanah-masih-jadi-pilihan-utama-pembeli

 

 

 


>> Back to News


Print