shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah kediaman: Aset atau liabiliti?

24 Feb 2022

KUALA LUMPUR: 'Rumahku Syurgaku' frasa yang biasa diungkapkan bagi menggambarkan keselesaan kita bebas berada di rumah sendiri tanpa perlu bimbang dengan apa yang orang lain fikirkan tentang kita.

Namun dalam konteks dunia moden hari ini, adakah rumah atau hartanah dianggap sebagai aset atau libaliti bagi tempoh jangka panjang?

Bolehkah kita, terutamanya kumpulan isi rumah berpendapatan terendah (B40) dan kumpulan pertengahan (M40) memiliki kewangan yang mencukupi untuk mendepani peningkatan inflasi dan kelakmya memiliki rumah kita sendiri?

Hartanah Masih Lagi Bentuk Pelaburan yang Menjadi Pilihan Utama

Faizal Bhana, pengarah Jersey Finance bagi Timur Tengah, Afrika dan India berkata pelaburan hartanah masih lagi menjadi pelaburan pilihan utama dan kekal sebagai kelas aset yang sangat menarik dan di samping itu adalah pematuhan Syariah daripada perspektif pelaburan Islam bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Beliau berkata laporan Global Attitudes to Islamic Wealth Management Jersey Finance (Pandangan Global terhadap Pengurusan Harta Islam Jersey Finance) menilai hartanah dan prasarana sebagai portfolio paling penting pada hari ini dan bagi tempoh 18 bulan akan datang.

"Kelas aset ini sinonim dengan kestabilan dan susulan pandemik, profil pulangan stabil dan ciri-ciri disokong aset menyediakan jaminan yang amat diperlukan kepada pelabur yang berpandangan jauh dan berurusan dengan pelaburan jangka panjang.

"Ini adalah berkaitan strategi dan perancangan pelaburan bagi pelabur yang tertumpu kepada pelaburan peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa," kata Pengurus Harta Antarabangsa itu.

Mengenai sama ada peningkatan kadar faedah pasca COVID-19 akan menyebabkan hutang isi rumah semakin tinggi, beliau berkata pemingkatan itu dijangka membawa impak minimum.

"Hartanah dilihat sebagai satu penyelesaian jangka panjang untuk menangani kemeruapan dan ketidaktentuan sebagai sebahagian daripada portfolio pelaburan," katanya.

Pandangan Faizal itu turut dikongsi bersama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang sering dalam ucapannya berkata bahawa pembelian rumah pada usia muda boleh meningkatkan kekayaan seseorang individu.

Justeru, telah menjadi aspirasi kerajaan di bawah kementerian tersebut serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang diaktifkan semula untuk meningkatkan kualiti rumah mampu milik bagi golongan muda.

Meskipun menjadi impian ramai untuk memiliki rumah sendiri, terutamanya golongan muda, persoalannya adalah sama ada kita memiliki rumah mampu milik yang mencukupi bagi mereka, dan yang paling penting, sama ada ia memenuhi kriteria khusus penanda aras kualiti?

Sejauh Mana Kejayaan Program Rumah Mampu Milik Kita?

Mengambil Perbadanan PR1MA Malaysia sebagai contoh, semasa di awal penubuhannya dengan aspirasi membina 500,000 rumah, majoriti rakyat Malaysia gembira dengan inisiatif itu.

Sedekad berlalu dan PR1MA ketika ini membina 21,580 unit rumah dan telah menyiapkan pembinaan 27,821 unit. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 49,401 di seluruh negara.

Bagaimanapun unit yang siap dibina itu hanya 5.0 peratus daripada jumlah sasaran manakala keseluruhan yang disiapkan hanya kira-kira 10 peratus.

Apa yang lebih mengejutkan adalah, daripada 61 projek yang diumumkan, 21 kini dianggap sebagai bermasalah atau "projek sakit".

Itu belum lagi mengambil kira kelewatan menyiapkan pembinaan rumah seperti projek di Rantau, Port Dickson, Negeri Sembilan, Melaka Tengah 2 dan Brickfields, Kuala Lumpur dan walaupun selepas siap, kecacatan rumah masih di tahap yang amat tinggi seperti apa yang berlaku dengan projek mereka di Tebrau.

Kelewatan menyiapkan rumah bukan hanya berlaku dalam projek PR1MA, tetapi juga dalam projek Syarikat Perumahan Nasional Bhd (SPNB), termasuk Pangsapuri Aspire Residence Fasa 1, Cyberjaya A.

Bagi pembeli rumah, kelewatan pembina akan menambahkan lagi kos kepada mereka. Membeli rumah bukan hanya sekadar melibatkan pembayaran pinjaman tetapi juga insurans seperti Takaful Pengurangan Gadai Janji (MRTT) dan Jaminan Jangka Tempoh Gadai Janji (MLTA).

Meskipun dibayar Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan (LAD) bagi kelewatan itu, ia tidak dapat menampung komitmen kewangan mereka kerana kebanyakan daripada yang membeli rumah ini adalah kumpulan M40 yang telahpun mempunyai kekangan bajet.

Kelewatan itu akan menyebabkan kualiti rumah merosot selepas tempoh liabiliti kerosakan berakhir, lebih-lebih lagi sekiranya mutu rumah yang disiapkan pemaju amat teruk.

Rumah Satu Keperluan, Namun Keperluan Kualiti dan Garis Masa Juga Penting

Meskipun pelbagai langkah yang diambil kerajaan untuk meningkatkan inisiatif pemilikan rumah menerusi pelbagai kaedah seperti Program Pemilikan Rumah, MPMMN dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk membina 500,000 rumah mampu milik, namun hartanah perlu dibina dengan berkualliti dan siap tepat pada masanya.

Dalam usaha negara merealisasikan konsep "Malaysia Yang Berdaya Huni", kita memerlukan rumah yang disesuaikan kepada penanda aras mampu milik dan mencapai kualiti terbaik.

Bagi unit strata, memiliki unit kediaman bukan hanya sekadar membayarnya, Pemilikan juga melibatkan yuran penyenggaraan dan kumpulan wang pelepas, antara lainnya, dan jika gagal membayarnya akan menyebabkan masalah bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada pemilik rumah lain dari segi perkhidmatan yang disediakan oleh jawatankuasa pengurusan.

Meskipun rumah adalah aset jangka panjang untuk memastikan kita memiliki tempat tinggal, namun kualiti memainkan peranan amat besar dalam menentukan sama ada hartanah adalah satu liabiliti atau aset bagi tempoh jangka panjang.

 -Bernama

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/02/925073/rumah-kediaman-aset-atau-liabiliti

 


>> Back to News


Print