shopify analytics ecommerce
tracking

Rehda optimis industri hartanah

07 Jul 2022

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), kekal optimis dengan prospek industri hartanah, meskipun akan ada kenaikan dalam kos pinjaman perumahan susulan kenaikan kadar dasar semalam (OPR).

Pemangku Presiden Rehda, Datuk NK Tong berkata, hartanah membabitkan pelaburan jangka masa panjang dan permintaan terhadap hartanah sentiasa ada walaupun sebelum ini negara dilanda pandemik Covid-19.

"Sekarang adalah masa yang sesuai untuk pembeli mempertimbangkan membeli hartanah kerana segmen hartanah ini mempunyai lindung nilai yang baik terhadap inflasi dalam jangka panjang.

"Walaupun OPR meningkat, kami lihat permintaan untuk segmen hartanah tetap ada terutama rumah mampu milik," katanya pada sidang media Karnival Jom Beli Rumah di sini, semalam.

Rehda bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Media Prima Omnia Bhd akan menganjurkan Karnival Jom Beli Rumah bagi menggalakkan pemilikan rumah bermula 15 hingga 17 Julai 2022.

Karnival itu akan diadakan di Pusat Pameran Mid Valley, menampilkan pelbagai projek hartanah daripada 20 pemaju yang mengambil bahagian.

Tong berkata, karnival itu juga bakal diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk kehadiran beberapa selebriti tempatan.

Menurutnya, bagi pengunjung pula, mereka berpeluang memenangi rebat tunai yang ditawarkan bernilai lebih RM100,000 dan pelbagai tawaran hebat lain.

Karnival Jom Beli Rumah yang berlangsung selama tiga hari itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 9 malam dan dibuka percuma kepada orang ramai.

"Buat masa ini kami belum lagi menerima jumlah sebenar projek hartanah daripada pemaju, namun orang ramai terutama mereka yang ingin memiliki kediaman, boleh berkunjung ke karnival ini.

"Ini kerana Karnival Jom Beli Rumah turut menampilkan hartanah mampu milik bermula daripada harga RM250,000 dan ke atas," katanya.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/07/859177/rehda-optimis-industri-hartanah

 

 


>> Back to News


Print