shopify analytics ecommerce
tracking

Masalah rumah tidak terjual dijangka kekal lama

12 Jul 2022

KUALA LUMPUR: Isu kediaman siap tidak terjual mungkin berpanjangan memandangkan pertumbuhan ekonomi yang tidak stabil akan memberi kesan kepada usaha untuk menghabiskan unit belum dijual.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata prospek pertumbuhan bagi sektor hartanah kekal kurang memberangsangkan, memandangkan permintaan dan sentimen pasaran kebiasaannya sensitif terhadap pelbagai faktor ekonomi.

"Lambakan bekalan yang berterusan telah pun menyebabkan harga rumah tidak meningkat sejak empat tahun lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau menambah, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini juga dijangka menyebabkan jumlah transaksi hartanah berkurangan.

 

Katanya, berdasarkan data sejak 1991, jumlah transaksi hartanah kediaman kebiasaannya akan merosot apabila purata kadar pinjaman disemak semula meningkat, begitu juga sebaliknya transaksi meningkat apabila kadar pinjaman diturunkan.

"Paling utama, ini bermakna bahawa jumlah transaksi atau permintaan bagi perumahan berkemungkinan merosot apabila BNM menaikkan OPR secara progresif dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Jumlah penurunan (permintaan) juga akan bergantung kepada sama ada trajektori pertumbuhan ekonomi kekal teguh. Sebarang penurunan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan memburukkan lagi kemerosotan terhadap permintaan rumah," katanya.

Kok Wen bagaimanapun berkata, mengambil kira bahawa ekonomi Malaysia akan terus pulih, beliau menjangkakan penurunan permintaan bagi hartanah secara relatifnya adalah sederhana, memandangkan kadar gadai janji menjelang akhir 2023 adalah masih lagi lebih rendah berbanding 4.5 hingga 4.6 peratus yang direkodkan lima tahun lalu.

RHB Research, katanya mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2022 dan 2023 masing-masing adalah 5.3 peratus dan 4.5 peratus."Selain itu, pembeli rumah juga akan dapat menyesuaikan diri dengan kadar faedah lebih tinggi dari masa ke masa.

"Bagaimanapun, memandangkan risiko kemelesetan di negara-negara Barat semakin meningkat, walaupun potensi risiko penurunan kepada pertumbuhan ekonomi mungkin melambatkan sedikit kenaikan kadar faedah, permintaan bagi hartanah masih lagi akan terkesan, dengan kadar pengangguran mungkin bertambah," katanya.

Pembeli rumah cenderung untuk menjadi lebih sensitif dengan kenaikan kadar faedah di tengah-tengah persekitaran inflasi.Setiap kenaikan 25 mata asas OPR akan menyebabkan pertambahan antara 3.2 hingga 3.5 peratus bayaran bulanan pinjaman gadai janji.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/07/974988/masalah-rumah-tidak-terjual-dijangka-kekal-lama


>> Back to News


Print