Kenaikan OPR jejas bakal pembeli, pemilik rumah
13 Jul 2022KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.25 peratus yang diumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini dijangka melemahkan lagi tahap keyakinan terhadap sektor hartanah.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Shylendra Nathan, berkata kesan kenaikan OPR bukan sekadar memberi kesan kepada bakal pembeli, malah pemilik rumah sedia ada dari aspek pinjaman gadai janji.
Beliau berkata, adalah jelas bahawa pandemik menjejaskan keyakinan pembeli, apabila kesannya dapat disaksikan menerusi tahap aktiviti yang rendah dalam sektor hartanah.
"Walaupun kita menyaksikan peningkatan perlahan-lahan yang optimis dalam pasaran dan menjangkakan pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, pembeli rumah masih dibelenggu dengan masalah kemampuan, ketidakupayaan untuk mendapatkan pembiayaan, jaminan pekerjaan dan kestabilan ekonomi."Ini berkemungkinan akan berterusan sehingga pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang lebih stabil," katanya kepada BH.
Shylendra berkata, sentimen pengguna dalam pasaran hartanah berkemungkinan hanya akan meningkat seiring dengan pemulihan persekitaran ekonomi dan inisiatif kerajaan, yang akan menghasilkan jaminan kewangan yang lebih baik dalam tempoh ini."Faktor lain yang menyumbang kepada kelemahan sentimen pembeli, termasuk ketidakstabilan politik yang berterusan di samping ketidaktentuan dasar ekonomi dan kesihatan.
"Sementara menunggu faktor luaran ini pulih, penjual hartanah mesti mengambil inisiatif untuk menawarkan insentif kepada pembeli dengan pakej lebih menarik bagi merangsang pasaran pengguna dan pelabur.
"Memandangkan hartanah sering dilihat sebagai lindung nilai terhadap inflasi, kemungkinan mereka yang berkemampuan untuk membuat keputusan pembelian berkos tinggi akan mempertimbangkan peluang pelaburan, sekali gus merangsang aktiviti pasaran hartanah," katanya.
Mengenai kenaikan harga bahan binaan, Shylendra berkata, peningkatan inflasi global dengan latar belakang penularan pandemik menyebabkan kekurangan komoditi penting seperti bahan mentah.
Katanya, jumlah unit rumah tidak terjual yang tinggi di Malaysia pula boleh menjadi peluang terakhir untuk membeli hartanah sebelum kemungkinan kos pembangunan terus meningkat.
"Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa kenaikan kos bahan binaan akan meningkatkan harga (di pihak) pemaju, mereka turut berdepan risiko pengabaian projek sedia ada kerana kekurangan dana.
"Selain itu, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), ia boleh memburukkan lagi keadaan semasa hartanah tidak terjual di negara ini yang disebabkan oleh hartanah kediaman, dengan kenaikan sebanyak 24.7 peratus kepada 37,000 unit bernilai RM22.79 bilion, meningkat 20.5 peratus daripada tahun sebelumnya," katanya.
Sementara itu, Shylendra berkata, landskap hartanah semasa di negara ini menunjukkan bahawa ramai yang masih bergelut dengan masalah kemampuan membeli rumah pertama.
Beliau berkata, terdapat perubahan ketara tingkah laku pengguna yang boleh dikaitkan dengan pendekatan berhati-hati pembeli ketika membuat keputusan pembelian yang besar.
Katanya, ia dibuktikan apabila Laporan Pasaran Hartanah Malaysia Suku Kedua 2022 menunjukkan bahawa mereka yang menangguhkan hasrat pemilikan rumah memilih untuk menyewa buat masa sekarang, terutama hartanah bertingkat yang tinggi.
"Terdapat peningkatan sebanyak 6.08 peratus permintaan sewa khusus untuk hartanah bertingkat tinggi, dengan lonjakan besar 111.23 peratus tahun ke tahun pada suku pertama.
"Walaupun sektor pasaran tertentu pada mulanya menunjukkan sedikit daya tahan, namun persekitaran terhad yang berlanjutan, kesukaran ekonomi yang semakin meningkat dan sentimen pengguna yang lemah menyumbang kepada tekanan penurunan harga hartanah pada kemuncak penularan wabak.
"Kami berharap agar dapat melihat peningkatan menjelang suku tahun terakhir sebaik sahaja keyakinan pembeli dan ekonomi pulih," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/07/975202/kenaikan-opr-jejas-bakal-pembeli-pemilik-rumah
>> Back to News