LPPSA sasar bantu 40,000 penjawat awam miliki rumah
28 Jul 2022PUTRAJAYA: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyasarkan untuk menyalurkan RM10 bilion pembiayaan perumahan tahun ini, selepas merekodkan RM6 bilion setakat enam bulan pertama 2022.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Farid Nawawi, berkata ia bakal dimanfaatkan oleh 40,000 peminjam baharu dalam kalangan penjawat awam untuk memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, sejak beroperasi pada 2016, LPPSA telah menyalurkan antara RM10 bilion hingga RM11 bilion pembiayaan setiap tahun dan sasaran yang ditetapkan tahun ini adalah berdasarkan data serta unjuran pembiayaan sebelumnya."Sehingga kini, LPPSA memiliki kira-kira 800,000 peminjam yang masih aktif dan turut memberi penangguhan bayaran setahun kepada lebih 3,000 peminjam yang berdepan dengan projek bermasalah, dilaksanakan dengan kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.
Beliau pada sidang media majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara LPPSA dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat), di sini, hari ini.Pada majlis itu, LPPSA diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Zuwardi Zubir, manakala Bank Muamalat diwakili Pengarah Perbankan Runcit, Zury Rahimee Zainal Abiden.
Pemeteraian itu disaksikan Mohd Farid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.Ketika ini, 70 peratus pembiayaan perumahan LPPSA terdiri daripada pembelian rumah pertama dan baharu.Mengenai MoU, Mohd Farid berkata, perjanjian dengan Bank Muamalat membolehkan penjawat awam yang memohon pembiayaan dengan kedua-dua entiti itu akan menjadi pemegang gadaian kedua bagi penyelesaian kewangan berbeza.
Beliau berkata, LPPSA sentiasa membuka peluang kerjasama dengan institusi kewangan atau institusi pembiaya lain bagi memudahkan dan membantu kakitangan sektor awam mendapatkan kemudahan kredit atau pembiayaan untuk membeli kediaman idaman di lokasi strategik.Katanya, usaha yang dilaksanakan itu adalah satu inisiatif positif membabitkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap kakitangan sektor awam memiliki rumah kediaman.
"LPPSA dan Bank Muamalat akan bekerjasama menjalankan dan menyertai aktiviti pemasaran secara bersama. LPPSA sentiasa menambah baik dan memudahkan urusan kakitangan awam yang ingin memiliki kediaman."Kami sentiasa komited untuk menyediakan platform perkhidmatan kewangan bersepadu yang mudah diakses untuk pelanggan kami. Ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada mandat, tetapi juga usaha berterusan kami," katanya.
Melalui pembiayaan perumahan 'Gadaian Kedua', Bank Muamalat akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang diluluskan oleh LPPSA.
Bank Muamalat juga akan menawarkan margin pembiayaan istimewa sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah, malah kos berkaitan seperti Takaful Gadaijanji (MRTT), yuran guaman dan Takaful Pemilik Rumah Jangka Panjang (LTHT) boleh dibiayai melalui pembiayaan perumahan Bank Muamalat.
Mohd Farid berkata, Bank Muamalat menjadi institusi perbankan ketiga yang bekerjasama dengan LPPSA selepas Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam)."Bank Muamalat akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM300 juta bagi tahun pertama dan kakitangan sektor awam disaran mengambil peluang dengan tawaran disediakan ini," katanya
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/07/980875/lppsa-sasar-bantu-40000-penjawat-awam-miliki-rumah
>> Back to News