shopify analytics ecommerce
tracking

Lima syor ringan beban rakyat miliki rumah

15 Sep 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi pengurangan kadar cukai pendapatan bagi pembeli rumah sepanjang tempoh pembinaan kediaman sebagai mengatasi masalah kemampuan dan beban pinjaman yang dihadapi pembeli.

Ia antara lima cadangan dikemukakan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi membantu golongan B40, terutama kategori B1 dan B2 yang memiliki pilihan terhad untuk memiliki kediaman sendiri.

Presiden REHDA, Datuk Tong Nguen Khoong, berkata pengurangan cukai di atas faedah yang terkumpul sepanjang tempoh pembinaan rumah itu boleh dipertimbangkan atau pengecualian cukai sekurang-kurangnya RM20,000 untuk pembeli rumah pertama bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

"Kita juga mencadangkan kerajaan mempertimbangkan agar Skim Pembiayaan Rent-to-Own (RTO) diperluaskan untuk pembeli rumah pertama yang ketika ini hanya dihadkan kepada Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sahaja.

"Satu lagi syor ialah kerajaan melaksanakan intervensi dengan menggalakkan lebih banyak bank memperkenalkan skim Step-up Financing bagi merapatkan jurang kemampuan pembeli rumah pertama.

"Step-up Financing ini ialah skim pembiayaan yang menawarkan bayaran ansuran bulanan lebih rendah dan mampu mengurangkan beban aliran tunai bagi memiliki kediaman," katanya kepada BH.

Beliau mengulas hasil kajian yang mendapati sebahagian besar bakal pembeli rumah ketika ini tidak mampu membeli hartanah, termasuk kediaman mampu milik ditawarkan kerajaan tanpa bantuan kewangan.

Kajian Sentimen Pengguna oleh PropertyGuru Malaysia pada separuh kedua 2022 yang baru-baru ini mendapati 51 peratus responden berdepan masalah dari segi kemampuan apabila tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan serta tidak mampu membeli hartanah jika tidak mendapat sokongan kewangan.

Malah, susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat kepada paras tertinggi sehingga 4.4 peratus dari tahun ke tahun, PropertyGuru, dilapor berkata bakal pembeli rumah mungkin terus berdepan dengan isu kemampuan dan kebimbangan mengenai kemelesetan global serta kadar inflasi berterusan.

Terbaru pada Khamis, Bank Negara (BNM) menaikkan OPR buat kali ketiga berturut-turut tahun ini sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus dalam mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Perkenal pemberian geran

Mengulas lanjut kesukaran dihadapi bakal pembeli rumah, Nguen Khoong juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan pemberian geran kepada pembeli rumah pertama bernilai RM30,000 untuk kediaman berharga RM500,000 ke bawah atau meneruskan program MyHome Scheme 2 untuk pembeli rumah yang layak.

"Semua cadangan ini dibuat selepas mempertimbangkan ada golongan yang tidak layak untuk sebarang insentif bantuan kerajaan (untuk membeli rumah) kerana baru sahaja memulakan kerjaya atau tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

"Malah, bagi isi rumah dalam kategori B1 atau B2, mereka mempunyai pilihan agak terhad sama ada menyewa atau memiliki perumahan awam disediakan kerajaan," katanya.

Nguen Khoong berkata, selain itu kerajaan juga boleh memperkenalkan lebih banyak inisiatif, antaranya mengalihkan tumpuan subsidi daripada minyak kepada perumahan awam atau mampu milik dalam usaha memastikan lebih ramai golongan B1 atau B2 memiliki rumah.

"Kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM15 bilion untuk membina 100,000 unit rumah, sejak 67 tahun lalu.

"Biarpun jumlahnya besar, namun ia mungkin hanya separuh daripada jumlah subsidi minyak yang diberikan sepanjang tahun ini sahaja.

"Subsidi perumahan mempunyai lebih banyak faedah jangka panjang untuk memastikan rakyat dilindungi dan pembangunan negara dapat diteruskan," katanya.

Katanya, pembukaan ekonomi dan status peralihan ke fasa endemik ketika ini membolehkan kerajaan memberi lebih tumpuan terhadap usaha menaik taraf negara ke status berpendapatan tinggi.

"Dengan ini, lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah biarpun pandemik COVID-19 menghalang atau memberi impak besar terhadap kerajaan dama memberi bantuan optimum kepada rakyat," katanya.

Sedia rumah berkualiti

REHDA katanya, berterusan memberi galakan kepada ahli persatuan itu agar sentiasa menjalankan kewajipan menyediakan rumah berkualiti dengan harga berpatutan atau mampu milik bagi semua lapisan masyarakat.

"Rumah adalah keperluan dan pemilikannya menjadi impian kebanyakan orang. Namun, ada segelintir yang benar-benar tidak mempunyai sebarang kemampuan kewangan untuk membeli rumah.

"Bagi isi rumah dalam kategori B1 atau B2, terdapat keperluan lain yang lebih penting dalam kehidupan harian mereka, terutama ketika negara sedang menghadapi peningkatan kadar inflasi selepas pandemik COVID-19," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/999173/lima-syor-ringan-beban-rakyat-miliki-rumah


>> Back to News


Print