shopify analytics ecommerce
tracking

Insentif rangsang pasaran hartanah sekunder

11 Oct 2022

KUALA LUMPUR: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) berharap Bajet 2023 dapat memberi tumpuan kepada pasaran hartanah sekunder dengan menawarkan lebih banyak insentif untuk pasaran berkenaan.

Presidennya, Chan Ai Cheng, berkata pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan dapat menyepadukan semua insentif sedia ada atau yang baharu di bawah satu program seperti pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk kediaman baharu.

Katanya, ini kerana insentif sedia ada yang ditawarkan oleh kerajaan untuk hartanah sekunder ketika ini adalah tidak bersepadu, sekali gus menyebabkan ramai orang tidak tahu mengenainya.

"Bagi merangsang pemilikan rumah sekunder, MIEA ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan program seperti HOC, tetapi khusus untuk hartanah sekunder iaitu kempen pemilikan rumah sekunder.

 

"Antara insentif yang kerajaan telah berikan ketika ini adalah pengecualian setem duti untuk pembeli rumah pertama dan kadar sifar cukai keuntungan harta tanah (RPGT) bagi rumah berusia enam tahun dan ke atas.

"Namun, kami merasakan ia tidak teratur dan tidak didatangkan dengan program berpusat untuk menjalankan program bagi merangsang pasaran sekunder ini," katanya kepada BH.

Ai Cheng berkata, MIEA mempunyai platform yang boleh membantu kerajaan untuk menjalankan program khusus untuk hartanah sekunder dengan berkesan, sama seperti bagaimana Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menguruskan HOC sebelum ini.

"MIEA boleh membantu menguruskan pasaran hartanah sekunder kerana cara untuk memasarkan hartanah sekunder adalah berbeza dengan hartanah baharu yang banyak dilaksanakan dengan cara mengadakan jelajah pameran," katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga menyedari banyak tumpuan sering diberikan kepada hartanah baharu dan memahami masalah rumah siap tidak terjual yang dihadapi.

"Namun, tidak lama kemudian hartanah ini akan menjadi hartanah sekunder. Kami merasakan jika pasaran hartanah sekunder adalah kuat, maka tiada isu projek tidak terjual.

"Seperti beberapa tahun lalu, apabila kita membeli rumah baharu dengan pemaju, sebaik ia siap dibina, harganya boleh naik sehingga 30 peratus dan jika ada rekod sebegini maka sudah tentu ia boleh dijual.

"Bagaimanapun, ketika ini siapa boleh beritahu anda jika membeli kediaman baharu, apabila siap (harga) boleh naik 30 peratus. Ini kerana, pasaran sekunder sudah tidak kuat," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/10/1009056/insentif-rangsang-pasaran-hartanah-sekunder

 


>> Back to News


Print