shopify analytics ecommerce
tracking

'Harga rumah tidak akan turun'

25 Oct 2022

SHAH ALAM: Harga rumah tidak akan turun meskipun harga bahan binaan di pasaran global mula menunjukkan penurunan, demikian mengikut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor.Ini susulan terdapat faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan kos pemaju perumahan.

Pengerusinya, Datuk Zaini Yusoff, berkata harga bahan binaan ketika ini kembali stabil, tetapi penurunannya masih tidak menyamai atau lebih rendah berbanding seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Katanya, selain isu harga bahan binaan yang masih tinggi, masalah kekurangan tenaga kerja yang belum selesai sehingga kini juga menjadi sebab mengapa harga rumah tidak akan turun."Apabila kita buka tender projek pembinaan kepada kontraktor, mereka bukan menawarkan harga lebih rendah, sebaliknya menaikkan harga kerana risiko yang perlu ditanggung.

"Antaranya bukan sahaja disebabkan masalah harga bahan binaan yang 'volatile', tetapi isu kekurangan buruh asing menyebabkan kontraktor terpaksa menaikkan harga tender."Jadi apabila harga tender tidak menurun, pemaju terpaksa menyerap kos berkenaan, sama ada dengan mengekalkan harga sedia ada atau menaikkan sedikit harga jualan," katanya kepada BH, ketika ditemui selepas majlis konvensyen perumahan REHDA Selangor di sini, semalam.Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, BH melaporkan harga bahan binaan utama di pasaran global, London Metal Exchange (LME) seperti aluminium menjunam ke paras terendah pada AS$2,155 satu tan daripada paras puncak AS$3,878 satu tan pada Mac lalu yang merangkumi pembetulan harga sebanyak 44 peratus.

Mengulas lanjut Zaini berkata, ketika ini dari segi pulangan keuntungan kepada pemaju juga berkurangan yang mana sebelum pandemik pemaju boleh meraih margin keuntungan kira-kira 20 peratus."Tetapi sekarang untuk mendapatkan margin di antara 10 hingga 15 peratus pun agak mencabar, terutama untuk pembangunan strata.

"Namun, untuk pembangunan atas tanah seperti rumah teres kita masih boleh kawal lagi dan mengekalkan harga jualan," katanya.Mengenai kesan penurunan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini, Zaini berkata, kejatuhan mata wang tempatan itu sememangnya memberi kesan kepada pemaju yang mempunyai projek pembangunan di luar negara.

"Untuk dalam negara, ia memberi kesan kepada harga barang yang kita import yang mana ini juga adalah antara faktor menyebabkan kontraktor sukar untuk menurunkan harga mereka," katanya.

Terdahulu beliau dalam ucapan pembukaannya berkata, ketika negara perlahan-lahan pulih daripada pandemik, cabaran bagi pemaju hari ini adalah untuk menyediakan lebih banyak rumah di samping berdepan peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan tenaga buruh.

"Bagi menurunkan kos pembangunan, kami menggesa kerajaan negeri dan penggiat industri bekerjasama mencari penyelesaian dalam mengurangkan kos bahan binaan dan menyelesaikan bekalan buruh.

"Sektor hartanah Selangor adalah penyumbang penting kepada pembangunan sosioekonomi negeri dan kesejahteraan masyarakat, mencerminkan kejayaan dan kemajuan dalam mengekalkan negeri yang paling maju dan progresif di Malaysia.

"Perumahan yang sesuai bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan, tetapi menyediakan persekitaran hidup yang bertenaga dan kondusif yang akan mempengaruhi dan membentuk kesejahteraan, produktiviti dan pembangunan manusia," katanya.

Tambahnya, pada separuh pertama tahun ini, Selangor adalah antara penyumbang tertinggi urus niaga hartanah dengan penguasaan pasaran sebanyak 26.5 peratus secara keseluruhan membabitkan 4,025 transaksi, dan 33.5 peratus dalam nilai (RM44.70 bilion).

"Aktiviti pembinaan kediaman mencatatkan peningkatan bagi pembinaan siap dan yang sedang dirancang, masing-masing meningkat sebanyak 5.9 peratus dan 12.9 peratus.

"Selangor juga menyumbang jumlah binaan bangunan siap kedua tertinggi iaitu 27.4 peratus daripada jumlah keseluruhan negara.

"Pada 2019, industri perumahan menyumbang 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 4.1 peratus pada 2020 walaupun berdepan cabaran pandemik dengan penciptaan 14,000 pekerjaan pada 2020," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/10/1014844/harga-rumah-tidak-akan-turun


>> Back to News


Print