shopify analytics ecommerce
tracking

Kelulusan pinjaman rumah susut kepada 37 peratus

01 Nov 2022

KUALA LUMPUR: Penurunan kadar kelulusan pinjaman perumahan sekitar 37 peratus pada separuh pertama 2022 berbanding 43 hingga 52 peratus pada 2011 hingga 2014 menjadi cabaran besar kepada pemaju perumahan di Malaysia.

Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga Research), Lum Joe Shen berkata, persekitaran operasi pemaju hartanah kekal mencabar selepas berdepan dengan tempoh suram dua tahun lalu ekoran pandemik.

Selain kadar kelulusan pinjaman, tambah beliau, sektor hartanah turut berdepan dengan harga rumah yang mendatar yang mana seperti ditunjukkan oleh Indeks Harga Rumah (HPI) setelah menguncup pada peringkat pada suku kedua tahun ini.

Katanya, HPI masih mendatar walaupun kos bangunan dan tanah telah meningkat, selain daripada faktor kemampuan pengguna yang menurun."Selain itu nisbah hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga kekal tinggi.

"Perumahan keterjangkauan juga semakin terhakis berikutan kenaikan kadar faedah dan kos pembinaan yang melambung tinggi."Kos pembinaan yang tinggi juga diterjemahkan kepada harga jualan yang lebih tinggi, meletakkan keberhasilan pelancaran baharu dalam risiko," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Joe Shen berkata, berdasarkan data terbaru Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), terdapat sedikit pengurangan dalam jumlah rumah untuk dijual yang termasuk tidak terjual siap dibina.Beliau berkata, jumlah itu adalah berbeza daripada apa yang direkodkan pada 2021.Katanya, sektor perumahan masih jauh untuk bergerak ke arah pemulihan kerana unit dalam bekalan masih agak tinggi.Ia juga katanya mewujudkan persaingan harga dan tekanan untuk pelancaran unit baharu.

"Dalam negeri utama (Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor), kami perhatikan bahawa harga rumah teres adalah satu-satunya sub-segmen yang telah menunjukkan pertumbuhan sejak dua tahun lalu."Harga rumah bertingkat pula masih tinggi dan berkembar telah menurun," katanya.

Laporan NAPIC pada separuh pertama 2022, lebih 34,000 kediaman tidak terjual siap dibina atau 'overhang' bernilai RM21.7 bilion dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi.Situasi 'overhang' pada tempoh dikaji itu bagaimanapun bertambah baik dengan penurunan marginal bilangan dan nilai setiap satu pada 7.5 peratus dan 4.6 peratus berbanding separuh kedua tahun 2021.

Hampir 60 peratus daripada kediaman tidak terjual adalah harta tanah kondominium/pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, kira-kira 43 peratus berharga lebih daripada RM500,000 seunit.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/10/1017562/kelulusan-pinjaman-rumah-susut-kepada-37-peratus

 


>> Back to News


Print