shopify analytics ecommerce
tracking

Permintaan rumah di Malaysia semakin meningkat

30 Nov 2022

KUALA LUMPUR: Permintaan kediaman di Malaysia menunjukkan peningkatan dan pasaran hartanah tempatan kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan dalam unjuran di peringkat global.

Ketua Risikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, Dr Lee Nai Jia, berkata pasaran Malaysia mengikuti Thailand dan Indonesia dari segi peningkatan permintaan, selain berdaya tahan seperti pasaran Singapura dan Vietnam.

Katanya, pasaran hartanah Malaysia kembali meyakinkan selepas sekatan pergerakan akibat COVID-19 dihentikan dan pelonggaran langkah sekatan membawa sedikit kelegaan kepada industri.

"Ditambah dengan pasaran buruh yang kukuh yang menyokong pasaran perumahan yang teguh, serta aliran pelaburan langsung asing yang stabil ke Asia Tenggara, ia memberikan penampan terhadap keanehan pasaran yang disebabkan oleh wabak dan perang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Beliau berkata demikian selepas berkongsi penemuannya dalam laporan bertajuk 'Asia Tenggara: Aliran Ekonomi Makro dan Kesan terhadap Pasaran Kediaman (Oktober 2022).

Nai Jia berkata, pada suku kedua, pasaran kediaman di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam mencatatkan kenaikan harga, walaupun jualan di Singapura dan Vietnam semakin perlahan.Katanya, di Thailand, sementara harga rumah kekal konservatif, terdapat lonjakan permintaan yang membayangkan kemungkinan pemulihan dalam pasaran.

"Terdapat lantunan umum di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam berikutan pembukaan semula sempadan dan langkah yang lebih longgar yang berkaitan dengan membendung COVID-19.

"Faktor yang menyokong pertumbuhan pasaran Malaysia dan Vietnam di mana kedua-duanya merekodkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi, masing-masing pada 8.9 peratus dan 7.7 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022.

"Apabila ekonomi kembali kepada tahap sebelum pandemik, pasaran buruh menjadi lebih ketat di semua lima ekonomi pada suku kedua. Ini membawa kepada kedudukan kewangan yang lebih baik yang seterusnya memudahkan penyelenggaraan pembayaran gadai janji dan keupayaan untuk menaikkan harga yang diminta," katanya.

Beliau menjelaskan, kegawatan dalam pasaran global telah menggoyahkan keyakinan pelabur, walaupun masih terdapat beberapa berita yang menggalakkan di lihat di rantau Asia Tenggara, terutamanya pasaran perumahan kediamannya."Bukan semua malapetaka dan kesuraman untuk pasaran hartanah kediaman Asia Tenggara, namun peningkatan inflasi memerlukan kerajaan untuk meningkatkan kadar faedah, sekali gus mewujudkan keadaan kewangan yang lebih ketat," katanya.

Menuju ke hadapan, Nai Jia berkata, tanpa sebarang kejutan besar kepada ekonomi, pertumbuhan ekonomi untuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dijangka menjadi sederhana pada separuh pertama tahun depan, manakala Vietnam diramalkan mengalami pengembangan ekonomi."Kami mengunjurkan bahawa pasaran kediaman di Malaysia dan Indonesia akan beralih, di mana harga meningkat, tetapi jumlah jualan menurun pada separuh pertama 2023," katanya

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/11/1032959/permintaan-rumah-di-malaysia-semakin-meningkat

 


>> Back to News


Print