shopify analytics ecommerce
tracking

Konsep 'sambung bayar' tarik minat pembeli sukar dapat pinjaman

19 Jan 2023

KUALA LUMPUR: Dalam situasi rakyat berdepan kesukaran membeli kediaman impian kerana harga 'tidak masuk akal', selain kerenah memohon pembiayaan, kini muncul segelintir pihak mengambil peluang menawarkan 'perkhidmatan' sambung bayar rumah.

Kaedah jualan kediaman secara sambung bayar itu bukan ditawarkan ejen hartanah berdaftar, tetapi individu persendirian yang bertujuan membantu kenalan, rakan mahupun ahli keluarga, yang berdepan masalah membayar komitmen berupa ansuran bulanan.

Konsep 'sambung bayar' dilihat menarik kerana pembeli tidak perlu bersusah payah menyediakan dokumen berkaitan kepada bank untuk memperoleh kelulusan pembiayaan, terutama bagi golongan yang berdepan kesukaran memenuhi syarat ditetapkan institusi perbankan.

Bagi tujuan membeli kediaman atau rumah secara sambung bayar, pembeli hanya perlu menyediakan sejumlah bayaran deposit dan segala perjanjian dengan pemilik asal rumah disediakan, sebagai jaminan mengelak sebarang masalah timbul kelak.

Bagaimanapun wujud keraguan kerana konsep sambung bayar itu, umpama pembeli tinggal di rumah terbabit dan membayar sewa walaupun wang itu diserahkan kepada bank serta pembeli ada menerima resit.

Ejen dakwa konsep 'sambung bayar' tiada risiko

Seorang ejen, Hashim Rahman, mengaku sedang menguruskan jual beli sebuah banglo di Puchong mengguna konsep 'sambung bayar', memberi jaminan proses terbabit tidak memberi sebarang risiko kepada pembelinya.

Mengakui dirinya bukan ejen hartanah berdaftar selain mendakwa hanya membantu menguruskan penjualan rumah milik majikan, beliau berkata, konsep 'sambung bayar' dibuat kerana tidak ramai yang berkemampuan melangsaikan keseluruhan hutang dengan bank secara tunai.

Beliau berkata, majikannya bersetuju untuk menawarkan kaedah 'sambung bayar' kerana dapat menarik mereka yang berdepan masalah dari segi kewangan dan mendapatkan pembiayaan.

"Rumah ini dimiliki bos saya. Sebenarnya dia ada banyak rumah. Cuma rumah ini dia adalah masalah untuk membayar ansuran bank setiap bulan.

"Sesiapa sahaja yang berminat dan kalau mampu bayar tunai...saya pun terima tetapi dalam situasi sekarang, ramai yang tak mampu nak bayar sekali gus, jadi susah orang nak beli sehingga susah nak jual rumah sekarang. Mungkin sambung bayar ramai yang bertanya.

"Kaedah 'sambung bayar' rumah yang saya uruskan ini memang tiada risiko. Ini kerana saya ada disediakan perjanjian 'hitam putih' dan dokumen berkaitan antara pembeli dan pemilik asal rumah berkenaan."Semua perjanjian dan dokumen berkaitan akan saya serahkan kepada pembeli bila sudah tinggal di rumah itu," katanya kepada BH.

 

Ditanya jumlah deposit perlu dibayar kepada pemilik rumah, Hashim berkata, pembeli perlu membayar RM180,000 bagi mendiami rumah tiga tingkat yang lengkap dengan kolam renang dan mempunyai lima bilik, masing-masing mempunyai kolam jakuzi.

Jelasnya, pembeli juga tidak perlu menyerahkan apa-apa dokumen kerana semuanya akan disediakan sendiri oleh pemilik rumah berkenaan, selain prosesnya tidak menelan masa lama seperti urusan memohon pembiayaan daripada bank.

Setelah selesai semua urusan, katanya pembeli cuma terikat dengan pembayaran ansuran rumah untuk tempoh kira-kira 13 tahun, kerana rumah berkenaan masih berbaki kira-kira RM1.3 juta."Sebelum ini memang ada rumah yang sudah dijual secara sambung bayar, ...siap tukar nama. Ini semua (rumah) adalah hak pembeli bila duduk di situ," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052588/konsep-sambung-bayar-tarik-minat-pembeli-sukar-dapat-pinjaman

 


>> Back to News


Print